Kapten Napoli tertarik tawaran di China
Astro Arena
Mei 28, 2018 09:53 MYT
Mei 28, 2018 09:53 MYT
MAREK Hamsik sedang mempertimbangkan tawaran ke China, sekaligus bakal menamatkan kariernya selama 11 tahun di Napoli.
Shandong Luneng dilaporkan berminat dengan pemain tengah dinamik berkenaan dan Hamsik, 30, mengesahkan tawaran itu telah dikemukakan.
Pemergian ketua pasukan itu akan menjadi tamparan hebat kepada pengurus baru Napoli, Carlo Ancelotti, yang diperkenalkan minggu ini untuk menggantikan Maurizio Sarri.
Walaupun menegaskan belum ada keputusan muktamad telah dibuat, Hamsik sempat membincangkan peluang bekerjasama dengan jurulatih barunya itu.
"Saya masih lagi merupakan pemain Napoli buat masa ini. Saya bercakap dengan Ancelotti di telefon dan saya mengakui tergoda dengan (prospek) perpindahan itu," kata Hamsik kepada Sport24 Slovakia.
"Saya hanya pernah ke China sekali, iaitu untuk perlawanan Supercoppa (melawan Juventus pada 2012), namun dalam kehidupan ini, anda perlu mencuba segala-galanya.
"Buat masa ini, saya hanya mahu bersama keluarga, kita nantikan apa yang akan berlaku."
Hamsik muncul dalam setiap perlawanan Serie A musim ini yang menyaksikan Napoli menamatkan kempen empat mata di belakang juara, Juventus.
#bola sepak
#Carlo Ancelotti
#China
#keluarga
#ketua pasukan
#Marek Hamsik
#Napoli
#pemain tengah
#pengurus
#perpindahan
#Shandong Luneng
#tawaran