Kanybekov sah milik Perak FC
Bernama
Februari 17, 2024 04:45 MYT
Februari 17, 2024 04:45 MYT
IPOH: Perak FC memantapkan barisan tengah pasukan pada saingan Liga Malaysia 2024/2025 dengan penyertaan kapten skuad bawah 23 tahun (B-23) Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.
Selepas mengikat empat pemain baharu sebelum ini, Perak FC memperkenalkan tonggak import baharu berusia 21 tahun itu kepada penyokong pada Karnival Pelancaran Jersi 'Home' Perak FC 2024/2025 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini malam tadi.
Kehadiran pemain kelahiran Kyrgyzstan itu, yang pernah bersaing di temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, menjadi pilihan ketua jurulatih Yusri Che Lah bagi memastikan sengat skuad itu lebih tajam.
Kanybekov turut berkeupayaan beraksi di posisi pertahanan tengah bagi mengisi kuota import Asia yang dilihat mampu memberi nilai tambah dalam pasukan apabila akan digandingkan dengan Luciano Guaycochea selaku 'jeneral' pasukan selain kebergangtungan penuh terhadap Luciano sebelum ini.
Kanybekov menjadi pemain kelima yang diumumkan Perak FC setelah sebelum ini mengumumkan muka baharu iaitu Tommy Mawat Bada (Negeri Sembilan); Ariff Ar-Rasyid Ariffin (Kelantan Utd); Mohamad Ramadhan Ab Hamid (PDRM FC) dan Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin pada sidang media, berkata, Perak FC juga bakal mendapatkan khidmat penjaga gol kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, Muhammad Haziq Nadzli.
"Pengumuman berkenaan pemain ini akan dibuat dalam masa terdekat dan buat masa ini ada beberapa isu yang perlu diselesaikan. Bagi kami, dia seorang penjaga gol yang berkualiti namun kita harap dia dapat bersaing dengan penjaga gol lain dalam skuad sedia ada," katanya.
Terdahulu, bagi menyemarakkan lagi pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Perak FC melancarkan kit jersi utama terbaharu.
Mengekalkan kombinasi warna keramat kuning hitam terus menjadi pilihan skuad The Bos Gaurus dengan menggunakan jenama tempatan Cheetah pada harga RM159 sehelai untuk 'player issue' manakala RM39 bagi 'fan issue'.
Kelab itu juga turut melancarkan tiga jenis pas bermusim pada kadar harga RM189 (Perak); RM300 (Emas) dan pas bermusim premium RM1250 (Hitam) dan kesemua pembeli akan dapat menyaksikan kesemua perlawanan yang membabitkan pasukan Perak FC di laman sendiri.
-- BERNAMA