Kante ubah nasib Chelsea, kata Desailly
Astro Arena
November 8, 2017 12:16 MYT
November 8, 2017 12:16 MYT
KEPULANGAN N'Golo Kante akan mengubah rentak Chelsea, demikian menurut bekas pertahanan The Blues, Marcel Desailly.
Pemain tengah itu dilanda masalah hamstring ketika dalam tugasan antarabangsa bersama Perancis sehingga terlepas enam aksi bersama skuad kendalian Antonio Conte itu yang tumbang Crystal Palace dan AS Roma.
Namun, Kante kembali dalam kesebelasan ketika menentang Manchester United, minggu lalu untuk Chelsea melakar kejayaan 1-0 yang menyaksikan mereka mendaki carta untuk satu mata di belakang pasukan di tangga kedua itu.
Desailly, yang menjuarai Piala FA bersama kelab di barat London itu pada 2000, menjangkakan keputusan yang lebih memberangsangkan di Stamford Bridge sebaik Kante kembali dalam barisan utama.
"Ia bukan satu kebetulan. Saya tidak menontonnya tetapi saya diberitahu rakan-rakan bahawa dia mempamerkan persembahan cemerlang.
"Chelsea memerlukan pemain yang mampu membantu di bahagian pertahanan dan mengekang lawan menerusi tenaga kerja yang hebat, menyekat lawan dan memulakan serangan," katanya kepada Omnisport dalam Anugerah Golden Foot Hublot di Monaco, malam tadi.
"Saya berasa senang dia sudah kembali. Secara psikologinya, ia memberikan suntikan semangat buat pasukan kerana sejak ketiadaannya, prestasi Chelsea terumbang-ambing. Dia sudah kembali dan memantapkan pasukan.
"Mereka tidak mempunyai nama besar secara individu, namun setidak-tidaknya mereka kembali kepada prestasi musim lalu, mungkin Chelsea akan bangkit mencapai prestasi yang diharapkan."
Malah, Desailly tidak gusar mengenai khabar angin yang mengaitkan Conte akan angkat kaki ke AC Milan kerana percaya bekas jurulatih Itali itu akan menghabiskan tugasannya di London terlebih dahulu.
"Dia boleh melakukan apa sahaja yang dihajatinya musim depan. Kami semua sayangkannya dan pengurus lain akan menyusul. Kelab lebih penting berbanding pemain mahupun pengurus."