Kante ikut jejak Benzema sertai Al Ittihad
Sinar Harian
Jun 7, 2023 12:45 MYT
Jun 7, 2023 12:45 MYT
PEMAIN tengah Chelsea, N'Golo Kante hampir bersetuju dengan syarat untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Ittihad.
Satu delegasi dari kelab Timur Tengah itu telah berada di London untuk meneliti syarat perjanjian bernilai sekitar 86 juta pound (RM423 juta) setahun.
Pemain berusia 32 tahun itu akan menjadi ejen bebas pada akhir bulan ini dan ditawarkan kontrak sehingga 2025.
Kante telah berbincang mengenai perjanjian baharu dengan Chelsea tetapi rundingan terhenti selepas Mac.
Chelsea mahukan skuad yang lebih muda dan sedang berbincang dengan Brighton mengenai perpindahan untuk mendapatkan Moises Caicedo bagi menggantikan Kante.
Al Ittihad sebelum ini telah merekrut penyerang Real Madrid, Karim Benzema selain membuat tawaran untuk pemain seperti Lionel Messi, Serge Busquets, Paul Pogba, Pierre Emerick Aubameyang dan penjaga gol Tottenham Hugo Lloris.
Mail Sport sebelum ini melaporkan bahawa perbincangan antara Al-Ittihad dan Kante bermula beberapa hari lalu dan matlamatnya adalah untuk persetujuan dicapai secepat mungkin. -- Sinar Harian