Kanser bukan penghalang untuk emas Olimpik Tokyo - Chong Wei
Afiezy Azaman
November 8, 2018 16:15 MYT
November 8, 2018 16:15 MYT
Menghidap sakit kanser tidak menjadi penghalang buat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk mencapai impiannya untuk berbakti kepada negara termasuk memburu pingat sulung sukan Olimpik negara.
"Kanser bukan penghalang untuk saya beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, emas tetap menjadi keutamaan saya," kata Chong Wei sekali gus menamatkan spekulasi mengenai persaraannya di dalam arena badminton.
"Saya akan cuba kembali secepat mungkin ke gelanggang selewat-lewatnya Disember ini, sekarang saya hanya menjalani latihan di rumah.
"Namun saya perlu menjalani rawatan setiap tiga bulan di Taiwan bagi memastikan tahap kesihatan saya berada di dalam keadaan yang baik," katanya dalam sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, di sini hari ini.
Turut hadir di sidang yang sama, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai.
Pada sidang media yang sama turut mengesahkan beliau kini bebas daripada kanser hidung.
Pemain berusia 36 tahun itu, disahkan menghidap kanser hidung tahap awal pada tahun ini dan hanya kembali ke Malaysia pada Oktober lalu selepas menjalani rawatan di Taiwan selama lebih dua bulan.
#badminton
#BAM
#barah
#Chong Wei
#kanser
#kesihatan
#Lee Chong Wei
#Malaysia
#Norza Zakaria
#Olimpik
#Sidang media
#Taiwan
#Tokyo