Kane: Perebutan terhadapnya tiada kesudahan

Astro Arena
Julai 25, 2023 09:45 MYT
Sama ada kekal di England, berpindah ke Jerman atau mana-mana negara lain, amat sayang jika bakat yang sukar ditemui sebegini kekal di takuk sama. - Foto AP
DIRINYA layak digelar salah seorang penyerang terbaik yang pernah lahir di England, namun pada titik ini masa depannya tidak berada dalam kawalan sendiri.
Harry Kane merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan kebangsaan England, dengan jumlah gol yang dikumpulkan buat The Three Lions mencecah angka 58 setakat ini, mengatasi rekod yang dahulunya dipegang oleh legenda Manchester United, Wayne Rooney.
Buat kelabnya, Tottenham Hotspur, dia telah menjaringkan 30 gol secara purata saban musim tanpa gagal sejak dari sembilan tahun lalu.
Konsisten, berbahaya dan gigih, itulah antara pendorong kejayaannya di samping antara sebab mengapa dia cukup sukar hendak dilepaskan oleh pihak yang memiliki hak ke atas dirinya ketika ini.
Tottenham dipengerusikan oleh seorang individu bernama Daniel Levy yang cukup terkenal atas gaya perundingannya yang tegas, terutama dalam urusan perpindahan pemain dan ia diketahui ramai bahawa segala keputusan daripadanya adalah demi mendapatkan yang terbaik.
Bekas pengurus United, Sir Alex Ferguson, pernah membeli tiga pemain daripada Tottenham, Teddy Sheringham, Michael Carrick dan Dimitar Berbatov.
Dalam temu bual bersama akhbar The Mirror beberapa tahun lalu, dia mengimbas kembali kesukaran menyempurnakan perpindahan berkenaan gara-gara campur tangan Levy.
“Saya masih ingat, rundingan untuk mendapatkan Michael Carrick berlanjutan begitu lama sehingga saya fikir kami harus lupakan sahaja hasrat untuk membeli.
"Apabila saya sangka segala-galanya telah selesai akhirnya, saya dapat panggilan memaklumkan Levy mahukan harga yang lebih tinggi lagi daripada persetujuan asal.
“Beberapa tahun kemudian, apabila kami hendak membeli Dimitar Berbatov pula, proses pembelian itu lebih menyakitkan daripada pembedahan yang pernah saya jalani!”
Ini hakikatnya - Tottenham ketika ini bukanlah sebuah kelab yang sama tarafnya dengan pasukan gergasi lain seperti Manchester City, Arsenal, Liverpool ataupun United.
Pencapaian terbaik mereka adalah mengakhiri liga di tangga kedua pada musim 2016-17 dan sebagai naib juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) beberapa tahun kemudian, sebelum dilanda kemelut dan sekadar menjadi pasukan 10 teratas liga hingga sekarang.
Di sebalik segala kemelut yang melanda, antaranya pengurus baru yang silih berganti dan ancaman wabak COVID-19, Kane masih mengekalkan prestasi sebagai peledak paling berbisa buat pasukan.
Tidak menghairankan jika Kane mendambakan peluang baru untuk terus mengasah bakatnya dan memenangi piala-piala yang selama ini sekadar mampu diimpikan, namun Levy menjadi satu penghalang yang teguh.
Dua tahun lalu, Manchester City pernah meluahkan hasrat untuk mendapatkan Kane sebagai penyerang utama mereka dan sanggup membayar harga setinggi £127 juta (RM749 juta).
Ketika itu, Kane mendakwa dia mempunyai perjanjian secara lisan dengan Levy, di mana pengerusi itu bersetuju untuk membenarkannya berpindah tanpa sebarang syarat.
Malang sekali, perjanjian itu dimungkiri dan bidaan daripada City ditolak tanpa sebarang alasan daripada Levy.
Kane merajuk dan enggan hadir pada waktunya untuk latihan pra-musim tetapi entah bagaimana dia berjaya dipujuk juga akhirnya dan terus menaburkan bakti dengan setia, berterusan menjadi penjaring terbanyak seperti sediakala dan menggalas segala beban Tottenham.
Kini, menjelang usianya mencecah 30 tahun, waktunya tiba untuk Kane sekali lagi berusaha berganjak ke destinasi baharu.
Kontraknya bersama Tottenham bakal tamat dalam tempoh setahun lagi tetapi Levy kelihatan masih lagi berkeras untuk memerah keringatnya ke titisan terakhir.
Laporan pelbagai sumber mengatakan Levy telah menolak setiap bidaan daripada Manchester United dan Bayern Munich sejak lebih sebulan lalu dan telah menyediakan satu kontrak baru untuk mengikat Kane buat jangka masa yang lebih panjang lagi.
Terbaru, Levy telah diberikan arahan oleh pemilik kelab Tottenham sendiri, Joe Lewis, memaklumkan bahawa Kane wajib dijual jika dia enggan menandatangani kontrak baru itu.
Sama ada kekal di England, berpindah ke Jerman atau mana-mana negara lain, amat sayang jika bakat yang sukar ditemui sebegini kekal di takuk sama.
United dan Bayern sama-sama mendambakan seorang penyerang berbisa pada musim akan datang, begitu juga dengan banyak kelab lain, termasuk Tottenham sendiri.
Siapakah yang bakal memiliki Kane akhirnya? - Stadium Astro
#Harry Kane #penjaring terbanyak #penyerang terbaik #Tottenham Hotspur
;