Kane buat Tottenham tersenyum
Astro Arena
Ogos 22, 2021 07:44 MYT
Ogos 22, 2021 07:44 MYT
WOLVES 0 TOTTENHAM 1
Nuno Espirito Santo gembira dengan tahap persembahan Harry Kane sebagai pemain gantian dalam kemenangan 1-0 Tottenham ke atas Wolves, awal pagi tadi.
Sepakan penalti Dele Alli -- gol pertamanya Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Mac 2020 -- menjadi pemisah di Molineux untuk Nuno meraih kemenangan pertama ke atas bekas kelabnya itu.
Watak penting Spurs, Kane, menjadi sasaran Manchester City dan terlepas dua perlawanan pembukaan musim ini -- kemenangan ke atas juara bertahan itu disusuli kekalahan kepada Pacos de Ferreira dalam kelayakan Liga Persidangan Europa -- tetapi kembali disambut dengan tangan terbuka oleh kelab London tersebut.
Kane dimasukkan pada minit ke-72, lalu membuktikan mengapa Nuno enggan melepaskannya.
Kane sering dikaitkan dengan City di sebalik pemain berusia 28 tahun itu hanya berlatih seminggu sejak kembali daripada rehat panjang selepas kempen Euro 2020.
Kane melakukan 14 sentuhan, sembilan percubaan, satu umpanan selain memiliki satu peluang berharga dalam perlawanan itu apabila Jose Sa menafikan usaha jarak dekat kapten England itu.
Walaupun Kane terlepas peluang terbuka itu, Nuno tetap senang dengan apa yang dipamerkan penyerang tersebut.
"Saya rasa dia berjaya. Dia membantu pasukan. Dia mempunyai peluang yang baik," kata Nuno dalam sidang akhbar.
"Harry masih dalam proses meningkatkan tahap kecergasannya tetapi kerana dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia, anda boleh melihatnya menerusi caranya membantu pasukan daripada segi penguasaan dan detik peting. Kami memerlukan semua pemain."
Ketika ditanya apakah Kane akan terlibat dalam kunjungan ke Pacos de Ferreira bagi pertembungan timbal balik, Nuno menjawab: "Saya tidak dapat menjawabnya, masih terlalu awal.
"Kami perlu memulihkan diri ketika ini dan bersiap untuk perlawanan berikutnya. Seperti mana amalan dan keputusan yang sering diambil."
#Liga Perdana Inggeris
#EPL
#Harry Kane
#Dele Alli
#Wolves
#Tottenham Hotspur FC
#Wolverhampton Wanderers
#penalti
#Manchester City
#England
#London