Kandas sekali lagi

Astro Arena
Mei 23, 2018 09:06 MYT
Goh Jin Wei mengakui dihimpit rasa kesal kerana gagal membantu Malaysia mencatat kemenangan ke atas Indonesia pada aksi pertama. - Gambar fail
TAMAT sudah dua perlawanan peringkat kumpulan saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand, menyaksikan skuad negara tumpas masing-masing kepada Indonesia dan China.
Ia sekaligus menutup peluang mereka untuk capai sasaran mara ke suku akhir dengan hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan meneruskan perjuangan.
Selepas dikecewakan dengan keputusan tipis 2-3 kepada Indonesia, pastinya tidak ramai yang meletakkan harapan tinggi Malaysia mampu cipta kejutan ke atas China yang juga merupakan juara bertahan.
Namun apa sahaja boleh terjadi apabila tiba hari sebenar saingan dan ternyata Malaysia dapat pamer persembahan yang harus diberi pujian.
Mereka tewas 1-4 kepada negara Tembok Besar itu tetapi secara keseluruhan ianya lebih baik berbanding dua tahun lalu di Kunshan apabila tuan rumah ketika itu lakar kemenangan mutlak 5-0.
Penulis percaya China pastinya rasa tergugat andai Soniia Cheah dapat atasi lawannya, Chen Yufei yang juga berada di ranking ke-5 dunia.
Menang set pertama 21-18, Soniia hampir raih mata kemenangan buat Malaysia tetapi kesilapan dalam set kedua membuka ruang buat Yufei untuk peroleh kemenangan dan seterusnya kekalkan rentak pada set penentuan.
Selain itu, turut menarik perhatian sudah pasti Goh Jin Wei yang mengakui dihimpit dengan perasaan kesal gagal membantu Malaysia catat kemenangan ke atas Indonesia pada aksi pertama.
Nyata dia menebus kekecewaan itu dengan menewaskan He Bingjiao, pemain yang sama pernah mengatasinya pada Kejohanan Remaja Asia 2015 yang kebetulan ketika itu turut berlangsung di Bangkok.
Manakala Lee Ying Ying turut pamerkan tentangan hebat sebelum kecundang kepada Gao Fangjie dalam aksi perseorangan ketiga.
Apa yang perlu diberi perhatian adalah bahagian beregu yang dilihat sukar memberi saingan khususnya Goh Yea Ching/Soong Fie Choo yang tewas mudah kepada Chen Qingchen/Jia Yifan.
Gandingan Chow Mei Kuan/Vivian Hoo pula perlu akur nasib bukan memihak mereka dalam saingan beregu kedua apabila tumpas kepada Huang Dongping/Yu Zheng.
Di sebalik dua kekalahan ini, masih ada satu lagi aksi buat skuad negara iaitu pertemuan menentang Perancis pada Rabu yang dilihat sebagai pelengkap jadual kumpulan D.
Tiada pilihan lain dan kemenangan mutlak pastinya perlu dicari bagi memberikan sedikit nota gembira buat mereka sekaligus dapat melupakan kekecewaan kepada Indonesia serta China.
#badminton #Bangkok #China #goh jin wei #Indonesia #Malaysia #Piala Uber #Soniia Cheah #Thailand
;