Kami tidak pernah menyerah kalah - Mustafi
Astro Arena
Januari 23, 2017 10:11 MYT
Januari 23, 2017 10:11 MYT
SIFAT tidak pernah mengaku kalah mungkin mampu membantu Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Burnley pada Ahad.
The Gunners mendahului perlawanan menerusi Shkodran Mustafi pada minit ke-59 -- gol sulung buat Arsenal -- di Stadium Emirates, sebelum Granit Xhaka dibuang padang, enam minit kemudian.
Pengadil, Jon Moss kemudiannya menambah tujuh minit masa kecederaan susulan Dean Marney mengalami kecederaan serius sebelum menghadiahkan Burnley sepakan penalti yang disempurnakan Andre Gray pada minit ke-93.
Tatkala perlawanan hampir pasti berkesudahan 1-1, Jon Moss kemudiannya membuat keputusan dramatik apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal di hujung perlawanan yang mudah disempurnakan Alexis Sanchez sekaligus memberi tiga mata kepada pasukan tuan rumah.
Kemenangan itu memberi makna besar kepada Arsenal apabila mereka kini menghuni tangga kedua liga menjelang aksi berdepan Chelsea pada 4 Februari depan.
"Kami mendominasi permainan di babak pertama dan tiba-tiba kami beraksi dengan 10 pemain. Senario itu menyukarkan kami tetapi kami terus bertahan.
"Walaupun Burnley menyamakan kedudukan kami tidak mengaku kalah dan terus bangkit. Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada setiap pemain," Mustafi memberitahu Sky Sports.
Mustafi kekal sebagai individu yang membawa tuah buat Arsenal, apabila mereka tidak pernah tewas apabila pemain Jerman itu turun beraksi -- sejak tiba Ogos lalu dari Valencia.
"Saya berharap akan ada lagi perlawanan di mana kami tidak akan tewas," katanya.