Kami tidak dapat bertanding tanpa pemain - Pan Gon

Bernama
Januari 11, 2023 14:16 MYT
Pan Gon memilih untuk meluahkan perasaannya selepas bersama para pemain selama lebih lima minggu iaitu sejak akhir November lepas. - Bernama
PATHUM THANI: Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon tidak mahu terlalu memikirkan tentang kekalahan Malaysia pada separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Malaysia tewas 0-3 kepada juara bertahan Thailand dalam separuh akhir kedua di Stadium Thammasat di sini malam tadi, sekali gus kalah 1-3 berdasarkan agregat.
Kekecewaan kerana gagal membawa Malaysia ke final menyebabkan Pan Gon menolak untuk menjawab mengenai impak keputusan kejohanan itu ke atas persediaan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Asia 2023.
Warga Korea Selatan berusia 53 tahun itu, sebaliknya memilih untuk meluahkan perasaannya selepas bersama para pemain selama lebih lima minggu iaitu sejak akhir November lepas.
"Saya rasa lebih baik jangan fikir terlalu banyak, kami telah melakukan ini untuk lebih lima minggu, kami semua sangat bersatu, semuanya positif, kami bercakap tentang impian dan masa depan dan saling memberi semangat.
"Mereka (pemain) datang untuk membantu, tanpa para pemain ini kami tidak dapat menyertai kejohanan seperti ini yang bukan dalam tempoh FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), mereka banyak berkorban untuk datang ke sini," katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.
Pan Gon berkata pihaknya akan menjalankan penilaian menyeluruh selain memberi gambaran menyeluruh mengenai beberapa pemain daripada skuad Piala AFF itu yang berkemungkinan dikekalkan untuk kejohanan seterusnya.
"Sebahagian pemain akan kekal, sebahagian pemain, mungkin ini yang terakhir, kami tidak tahu... tapi kami tidak mahu menyalahkan mereka. Saya akan mengambil semua tanggungjawab," katanya.
Harimau Malaya dibarisi oleh kebanyakannya muka baharu pada kempen Piala AFF 2022 kali ini selepas 14 pemain utama tidak dapat turut serta kerana hal peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.
Malaysia, yang juga juara 2010, tersingkir pada peringkat kumpulan dalam edisi sebelum ini.
-- BERNAMA
#Kim Pan Gon #harimau Malaya #Piala AFF #Piala Asia #pemain negara
;