Kami perlu segera bangkit - Jelius

Astro Arena
April 25, 2018 22:02 MYT
Dalam aksi petang semalam, Sabah ketinggalan 0-3 kepada UKM hasil dua jaringan Sein Nam serta satu gol oleh Kipson Athuheire.
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, mengakui sangat kecewa dengan kekalahan 2-3 kepada UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam dan mahu anak buahnya segera bangkit dalam aksi liga seterusnya.
Katanya, beliau telah bertemu dengan kesemua pemain dan 'mencuci otak' mereka seterusnya memberi kata-kata semangat supaya bangkit dalam aksi seterusnya.
"Kami perlu lupakan kekalahan ini dan bangkit dalam aksi seterusnya bertemu Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini. Jarak mata dengan pasukan lain sangat dekat ketika ini, kami tidak rela lagi kehilangan mata," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelius juga menjelaskan pemain-pemainnya tidak beraksi seperti apa yang dirancang dalam sesi latihan sehingga menggagalkan hasrat mereka mengutip mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah.
"Saya bukan kata hanya seorang pemain yang tidak bermain baik tetapi kesemuanya. Ada pemain import kami yang main baik tetapi kalau pemain lain tidak begitu, ia mempengaruhi keseluruhan corak permainan kami.
"Kami hanya bermain bagus selepas saya buat pertukaran termasuk keluarkan Leopold (Alfonso Otong) di penghujung separuh masa pertama kerana tidak mencapai tahap sebenar, namun, ia sudah terlambat," katanya.
Dalam aksi petang semalam, Sabah ketinggalan 0-3 kepada UKM hasil dua jaringan Sein Nam serta satu gol oleh Kipson Athuheire.
Bagaimanapun, pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu cuba bangkit dan berjaya menjaringkan dua gol menerusi Hector Pito Ramos dan Justin Samaan, namun sudah terlambat untuk mengejar UKM FC.
Dalam perkembangan lain, Jelius berkata dia sedang menunggu laporan doktor berhubung kecederaan yang dialami pemain tengah import mereka, Heo Jaenyong.
Jaenyong terpaksa disisihkan daripada aksi bertemu UKM FC berikutan kecederaan lutut selepas perlawanan lalu.
"Kami akan menghubunginya (Jaenyong), dia kini berada di Korea Selatan untuk menerima rawatan dan sekiranya mendapat lampu hijau daripada doktor, kami akan terbangkan dan turunkan dia dalam aksi bertemu Pulau Pinang," ujar Jelius.
#Jelius Ating #kata-kata semangat #Ketua Jurulatih Sabah #mencuci otak #pulau pinang #Selayang #Stadium Batu Kawan #Stadium Majlis Perbandaran Selayang
;