Kami patut menang - Zidane
Astro Arena
Januari 26, 2017 09:26 MYT
Januari 26, 2017 09:26 MYT
Celta Vigo 2 Real Madrid 2
(Celta Vigo layak menerusi agregat 4-3)
Zinedine Zidane percaya Real Madrid ditundukkan oleh wisel penamat selepas mereka tersingkir dalam saingan Copa del Rey kepada Celta Vigo, awal pagi tadi.
Keputusan seri 2-2 di Balaidos menyaksikan Madrid tumpas 4-3 menerusi agregat, dengan Celta mara ke separuh akhir buat musim kedua berturut-turut.
Lucas Vazquez meledakkan gol buat pelawat menyamakan pada minit ke-90 perlawanan selepas gol Cristiano Ronaldo terlebih dahulu dibatalkan ketika Celta sedang mendahului 1-0, dan jaringan itu cukup penting kerana dapat membantu Madrid layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.
Bagaimanapun, Celta bertahan untuk mara menerusi keputusan agregat dan bos Madrid, Zidane, berkata pasukannya mempamerkan aksi lebih baik berbanding tuan rumah.
"Kami menampilkan permainan hebat," katanya.
"Kami kecewa tapi para pemain telah beraksi baik dan kami tidak mempunyai masa yang mencukupi.
"Mungkin jika perlawanan dilanjutkan beberapa minit lagi, kami berpeluang memenangi perlawanan. Tapi ia mustahil, kami perlu menerimanya dan memikirkan soal liga selepas ini.
"Dengan penampilan seperti ini, anda hanya perlu tenang dan menganggap piala ini sudah terlepas daripada genggaman kami dan mula memikirkan aksi liga, Ahad ini.
"Saya bertanggungjawab ke atas pasukan ini dan kami akan meneruskan rentak yang sama. Kami boleh dan akan berjuang untuk dua kejohanan lagi (LaLiga dan Liga Juara-Juara."
Bercakap mengenai pertemuan dengan Celta itu, tambah Zidane: "Ia berlangsung dalam dua perlawanan dan kami gagal mengatasi mereka. Kami telah mencuba yang terdaya.
"Apa yang mengecewakan adalah kami tersingkir menerusi permainan hebat seperti ini dan pemain saya tidak berhak untuk meraih keputusan seri ini.
"Anda boleh salahkan diri sendiri, tapi hakikatnya tiada siapa yang harus dipersalahkan.
"Apa yang menyedihkan adalah kami gagal meraih apa yang kami hajati. Saya turut kecewa.'