Kami masih belum serasi - Peng Soon

Bernama
Oktober 8, 2022 08:00 MYT
Peng Soon (kanan) dan Yee See ketika beraksi pada perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil 28 Jun lalu. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mengecewakan dan belum mendapat rentak, itulah luahan pemain beregu campuran Chan Peng Soon ketika ditanya mengenai prestasinya pada masa ini.
Selepas terkeluar pada peringkat suku akhir di Terbuka Vietnam 2022 minggu lepas, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, mengakui yang beliau masih gagal untuk serasi dengan pasangannya masa ini Cheah Yee See.
Peng Soon-Yee See tewas 19-21, 17-21 kepada pasangan India Rohan Kapoor-Reddy Sikki pada satu-satunya peringkat suku akhir dicapai mereka selepas tujuh kejohanan yang disertai, sejak digandingkan pada Masters Indonesia 2022, Jun lepas.
"Keyakinan kami sekarang ini memang rendah, selalu kalah dan prestasi teruk di Terbuka Vietnam. Walaupun sudah main tujuh kejohanan, saya masih belum serasi dengan Yee See lagi.
"Dalam gelanggang kami masih mencari rentak, namun kami perlu bekerja keras (untuk capai keserasian)," katanya kepada media ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada beliau memerlukan pasangan yang baharu, Peng Soon berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian pada ketika ini, kerana beliau akan kekal bersama Yee See.
"Mungkin saya masih ada dua tahun sebelum bersara. Apa yang saya hendak lakukan pada setiap penampilan bersama Yee See ialah bermain dengan cemerlang. Sudah penat tukar pasangan, saya percaya cabaran akan ada jika tukar pasangan baru," katanya.
Disember lepas, Peng Soon berpisah dengan Goh Liu Ying selepas berpasangan selama 13 tahun. Kejayaan terbaik pasangan itu ialah memenangi pingat perak di Rio 2016.
Sejak itu, Peng Soon telah berpasangan dengan Valeree Siow dan Toh Ee Wei, sebelum pemain berusia 34 tahun itu dipasangkan dengan Yee See.
Sementara itu Yee See berkata gandingannya bersama Peng Soon masih belum stabil kerana beliau masih menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasangannya itu di gelanggang.
"Masalah paling besar adalah fikiran saya dan Peng Soon tak sama, tetapi tentunya kami perlukan masih yang lebih untuk menjadi lebih baik bersama... harap tidak ambil masa sampai setahun untuk cari keserasian," katanya.
Dalam masa sama, Yee See berharap mereka akan tingkatkan keyakinan mereka apabila menyertai tiga kejohanan di Eropah berturut-turut bermula dengan Terbuka Denmark (18-23 Okt), diikuti Terbuka Perancis (25-30 Okt) dan Terbuka Jerman (1-6 Nov).
-- BERNAMA
#Chan Peng Soon #pemain beregu campuran #badminton #Cheah Yee See
;