'Kami mahu Balotelli, yang turut mahukan kami'
Astro Arena
Julai 27, 2016 19:45 MYT
Julai 27, 2016 19:45 MYT
PRESIDEN Besiktas, Fikret Orman, mendakwa Mario Balotelli berminat untuk melengkapkan perpindahan ke kelab juara Turki itu.
Penyerang Liverpool itu sudah diberitahu oleh pengurus, Jurgen Klopp, agar mencari sebuah pasukan baharu selepas dua tahun yang hambar di Anfield, termasuk satu tempoh pinjaman kepada AC Milan yang mengecewakan.
Balotelli ketika ini berlatih bersama pasukan belia Liverpool dalam usahanya untuk mengembalikan ketajaman dan di sebalik laporan yang mengaitkannya dengan kepulangan ke Serie A, dia masih gagal mendapatkan majikan baharu.
Namun, Besiktas kini mengatakan kelab itu mungkin menjadi penyelesaian buat segala permasalahan pemain antarabangsa Itali itu ketika mereka tercari-cari pengganti Mario Gomez yang enggan melanjutkan tempohnya di kelab itu.
“Mario Balotelli adalah jenis pemain yang penyokong kami boleh menjalin hubungan rapat. Saya agak yakin dia mampu menjadi tarikan besar,” kata Orman.
Ormman yakin Balotelli mampu berubah dengan segala tumpuan dan keprihatinan yang akan diterimanya di Turki.
“Ringkasnya, kami mahu Mario Balotelli, yang juga akan mahukan kami.”