Kami akan analisis, perbaiki kelemahan - Pan Gon

Bernama
Disember 15, 2022 10:50 MYT
Pemain kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim membuat cubaan ke gawang gol pasukan Maldives pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Berbaki seminggu lagi sebelum Piala AFF membuka tirai, ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon memberi jaminan bahawa beliau akan segera memperbaiki kesemua kelemahan yang dikenal pasti semasa aksi persahabatan menentang Maldives malam tadi.
Walaupun berjaya mengalahkan Maldives yang menghuni ranking ke-154 dunia 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, anak buah Pan Gon tidak berada dalam prestasi terbaik mereka.
"(Semasa) separuh masa pertama, tidak lancar, sedikit bergelut di bahagian serangan, namun bertambah baik semasa babak kedua. Mungkin bola sepak kita menuntut secara fizikal dan kadangkala pemain perlu lebih tepat dan tidak sepatutnya hilang penguasaan bola lebih awal.
"Jika kita kalah, saya gembira kerana pemain telah menunjukkan semangat, komitmen dan mengikut arahan 100 peratus, jadi tiada aduan. Cuma beberapa aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki, kita akan membetulkannya," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Beliau berkata keadaan berbeza semasa perlawanan sebelum ini apabila skuad Harimau Malaya membelasah Kemboja 4-0 Jumaat lepas, apabila pemain dilihat semakin meningkat dari segi jarak dan kelajuan larian seperti dituntut pasukan kejurulatihan.
Ditanya mengenai keyakinan beliau terhadap pasukan untuk menentang Vietnam dan Singapura bagi merebut dua tempat teratas dalam peringkat kumpulan Piala AFF, Pan Gon berkata beliau dapat melihat anak buahnya berada dalam semangat berpasukan yang bagus, komited dan 'laparkan' perjuangan untuk meraih kejayaan.
"Apa yang saya boleh katakan, setakat ini kami bermain dengan baik, jadi kami mahu berikan anda persembahan yang baik dalam setiap perlawanan. Semua orang dan peminat perlu tahu bahawa kami berjuang untuk anda, kami sangat serius. Setiap hari kami bekerja keras jadi kami mahu anda berada di pihak kami.
"Jika kami tidak berjaya mendapat keputusan yang baik, kita perlu menangis bersama, kalau dapat hasil yang baik kita gembira bersama. Kami cuba untuk membuatkan peminat gembira, sebab itu kami banyak berlari, banyak berlawan untuk membanggakan anda," katanya.
Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan B mereka di Piala AFF bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Dis, diikuti perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Dis), Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan).
Pada perlawanan menentang Maldives malam tadi, tiga gol Malaysia dijaringkan oleh Darren Lok pada minit ke-24, Muhammad Faisal Abdul Halim (64) dan pemain naturalisasi negara Lee Tuck (88).
Sementara itu, ketua jurulatih Maldives Francesco Moriero gembira bahawa pemainnya mampu bermain dalam aksi yang kompetitif selepas tiga bulan memandangkan Liga Perdana Dhivehi berehat hingga Mac.
"Kami bermain menentang pasukan yang kuat, tetapi kesalahan tiga individu menyebabkan tiga gol dibolosi dan kami gagal menukar dua peluang untuk menjaringkan gol. Sebagai jurulatih saya gembira kerana pasukan bermain dengan intensiti, taktikal berdisiplin walaupun beraksi dengan tujuh pemain muda," katanya.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Kim Pan Gon #Maldives #Piala AFF
;