Kamera Sukan Olimpik ini ambil 40,000 gambar sesaat untuk acara balapan

Amanz
Ogos 8, 2024 00:30 MYT
Scan ‘O’ Vision Ultimate (gambar) boleh mengambil 40,000 bingkai gambar sesaat, peningkatan daripada Scan ‘O’ Vision Myria yang 'hanya' mengambil 10,000 bingkai gambar sesaat. - Foto Amanz
ISNIN lalu acara akhir larian 100 meter lelaki Sukan Olimpik berakhir dengan dua pelari mencatatkan masa 9.79 saat.
Namun begitu dengan bantuan teknologi kamera halaju tinggi, Noah Lyles pelari dari Amerika Syarikat dinobatkan sebagai pemenang pingat emas dengan catatan masa rasmi 9.784 saat mengalahkan Kishane Thompson dari Jamaica dengan catatan masa 9.789 saat.
Ini menjadikan ia kali pertama dalam sejarah Olimpik hanya 0.005 saat membezakan kedudukan dua pelumba.
Perbezaan yang cukup kecil ini berjaya disukat menggunakan kamera Omega Scan ‘O’ Vision Ultimate.
Omega telah menjadi penaja dan penjaga masa rasmi Sukan Olimpik sejak 1932.
Setiap empat tahun teknologi baharu diperkenalkan bagi membolehkan catatan masa lebih jitu diambil.
Scan ‘O’ Vision Ultimate boleh mengambil 40,000 bingkai gambar sesaat dan adalah peningkatan daripada Scan ‘O’ Vision Myria yang “hanya” mengambil 10,000 bingkai gambar sesaat.
Bukan sahaja lebih banyak gambar boleh diambil sesaat, ia juga mengambil gambar pada resolusi yang lebih tinggi.
Hanya 100 tahun yang lalu, jam randik digunakan di Sukan Olimpik Paris 1924 dengan kejituan masa sehingga satu titik perpuluhan sahaja.
Jika Omega tidak membangunkan teknologi kamera halaju tinggi mereka, besar kemungkinan empat pemenang pingat emas perlu diberikan kerana empat pelari mencatatkan masa 9.8 saat.
#teknologi kamera halaju tinggi #kamera #omega #Sukan Olimpik Paris 2024