Kamaru Usman, Amanda Nunes kekalkan kejuaraan di UFC 245
Haider Yutim
Disember 15, 2019 00:00 MYT
Disember 15, 2019 00:00 MYT
PETARUNG Nigeria, Kamaru Usman berjaya mengekalkan kejuaraan dunia welterweight UFC yang disandangnya selepas menundukkan petarung Amerika Syarikat, Colby Covington.
Dalam acara utama di UFC 245 yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas itu, Usman menewaskan pencabarnya menerusi TKO pada minit 4:10 pusingan kelima.
Dengan keputusan itu, Usman, 32, melebarkan rekod profesionalnya kepada 16 menang dan satu kalah (16-1).
Untuk rekod, Usman merupakan atlet seni bela diri campuran (MMA) kelahiran Afrika yang pertama meraih kejuaraan dunia UFC, selepas menewaskan Tyron Woodley dalam aksi UFC 235 pada Mac lalu.
Sementara itu, dalam satu lagi pertarungan kejuaraan, juara bertahan bantamweight UFC wanita Amanda Nunes dari Brazil menumpaskan petarung Belanda, Germaine De Randamie.
Pertarungan yang berlangsung sebanyak lima pusingan itu menyaksikan Nunes, 35, menang menerusi keputusan sebulat suara.
Dia yang sebelum ini pernah mengalahkan beberapa jaguh hebat seperti Cris Cyborg, Ronda Rousey, Valentina Shevchenko dan Miesha Tate kini memegang rekod 19-4.
Selain itu, Nunes turut memegang kejuaraan dunia UFC untuk divisyen featherweight wanita.
#Amanda Nunes
#Colby Covington
#Germaine De Randamie
#Kamaru Usman
#kekalkan kejuaraan
#Mixed Martial Arts
#MMA
#T-Mobile Arena
#UFC
#UFC 245
#welterweight