Kalau virus tak serang Zlatan, Zlatan serang virus - Zlatan Ibrahimovic
Ian Johan Ariff
Mac 19, 2020 17:21 MYT
Mac 19, 2020 17:21 MYT
BINTANG bola sepak, Zlatan Ibrahimovic melancarkan tabung dana untuk bantu mengatasi koronavirus ataupun wabak virus COVID-19.
Zlatan yang bermain untuk kelab bola sepak Itali, AC Milan sudahpun memulakan kempen itu dengan menderma sebanyak 100,000 Euro untuk tabung itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi akaun Instagramnya.
Dalam video itu, Zlatan menyeru rakan-rakan seperjuangannya sama-sama menderma dalam tabung itu dan memberi kembali kepada rakyat Itali.
Dalam pesanan akhir Zlatan dalam video itu, warga Sweden yang selalu berseloroh mengenai kehebatannya itu menyatakan “kalau virus tak serang Zlatan, Zlatan akan serang virus”.
Tindakan Zlatan dibuat mengikuti langkah beberapa rakan seperjuangannya dalam bola sepak, seperti Paul Pogba yang membuka laman pengumpulan dana untuk memberi dana sokongan kepada Unicef bertujuan membantu kanak-kanak yang terkesan akibat coronavirus.
Bekas pemain Manchester United, Gary Neville pula membuka hotel-hotel miliknya secara percuma kepada kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan mengekang COVID-19.
Pada Isnin, kelab bola sepak Inggeris, Chelsea turut membuka hotel milik mereka kepada barisan hadapan hospital di England.
#AC Milan
#Chelsea
#coronavirus
#COVID19
#Doktor
#England
#Hapus COVID-19
#Instagram
#kekal tenang
#misi kemanusiaan
#Sweden
#Zlatan Ibrahimovic