Kalau terus begini, sukan silat tidak akan ke mana - Pesaka

Israr Khalid
Ogos 27, 2018 22:11 MYT
Atlet silat negara Mohd Al Jufferi Jamari (tengah) selepas menarik diri ketika menentang Komang Harik Adi Putra dari Indonesia dalam pencak silat lelaki akhir kelas E pada Sukan Asia 2018 di Padepokan Pencak Silat hari ini. - Foto Bernama
Memang berlaku ketidaktelusan pengadilan yang amat jelas, menyebabkan Mohd Al-Jufferi Jamari menarik diri daripada meneruskan perlawanan final acara silat Kelas E Putra Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang menentang tuan rumah, Indonesia.
Setiausaha Teknikal Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Kamarul Ariffin A.Latib menegaskan, sukan silat akan terus terperuk di takuk lama seandainya permasalahan lama ini tidak diselesaikan.
Mengulas perlawanan yang berlangsung di Padepokan Pencak Silat Taman Mini Indonesia Indah itu, Kamarul melihat perlawanan pada awalnya berlangsung seimbang antara dua pesilat itu yang masing-masing saling berbalas serangan dan mengutip mata.
Namun sesuatu yang janggal berlaku pada pusingan ketiga apabila setiap serangan Al-Jufferi yang mengenai sasaran langsung tidak dikira.
BACA: Saya tewas kerana ketidakadilan - Al Jufferi
BACA: Pesilat negara tidak dibenar beri kenyataan
BACA: Al-Jufferi sedia hadapi sebarang hukuman
BACA: 'Kamu tetap pemenang di mata dan hati kami semua brother Al Jufferi' - Syed Saddiq
Menilai situasi itu, Kamarul berkata penarikan diri di tengah perlawanan itu diputuskan bersama seluruh pasukan memandangkan tiada apa yang boleh dilakukan walaupun sekiranya Al-Jufferi tetap meneruskan perlawanan untuk cuba mengubah kedudukan.
“Tak ada makna lagi sebab nampak sangat bahawa juri dengan sengajanya, kita guna perkataan itu, tidak memberi markah kepada serangan-serangan yang dibuat Al-Jufferi pada pusingan terakhir itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Biarpun barisan juri dianggotai dari pelbagai negara berbeza selain dua negara yang bertanding, sepatutnya mereka berkecuali dan tidak dipengaruhi apa sahaja elemen luar termasuk faktor pengaruh tuan rumah.
Kata Kamarul, kepelbagaian juri dari Vietnam, Filipina, Brunei, Singapura dan Pakistan itu tidak membantu dalam menjamin ketelusan mutu pengadilan.
Ini bukan masalah baharu. Menurutnya, beberapa kejadian sebelum ini memperlihatkan pengadilan berat sebelah antaranya juara Sukan SEA 2017 bagi acara silat seni, Muhammad Afifi Nordin juga tidak melepasi saingan peringkat ‘pool’.
“Sebenarnya sebelum Sukan Asia memperkenalkan sukan silat, kita telah merancang beberapa perkara, tetapi malangnya pihak Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (Persilat) yang berpangkalan di Indonesia tidak memanggil kita bermesyuarat untuk membetulkan beberapa isu berkaitan peraturan pertandingan.
“Tahun depan ada Sukan SEA di Filipina, kemudian kejohanan silat dunia sekali lagi di Indonesia. Kita tidak mahu berlaku perkara sama,” tegasnya.
Apapun, Pesaka katanya akan terus berusaha bersama Persilat untuk duduk berbincang bagi memperhalusi dan menggubal semula undang-undang yang berkaitan supaya martabat sukan ini dapat terus dihormati dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kalau tidak selamanya sukan silat tidak dapat pergi lebih jauh, ke Sukan Komanwel apatah lagi ke Sukan Olimpik,” ujarnya.
#Al-Jufferi Jamari #Indonesia #Jakarta #Pelambang #PERSILAT #Pesaka #silat #Sukan Asia 2018
;