Kalau selalu tangguh, MFL jadi bahan jenaka - Yusoff
Astro Arena
Februari 16, 2019 20:21 MYT
Februari 16, 2019 20:21 MYT
AHLI lembaga pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi, tidak mahu badan itu dilabel sebagai sarkas andai terus membuka peluang kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).
Kenyataan itu mengukuhkan bahawa tiada lagi ruang buat PFA selepas kegagalan mereka mengemukakan penyata laporan kewangan seperti yang dimahukan MFL.
Walaupun MFL mengharapkan belas ihsan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melanjutkan tempoh sehingga kepada satu waktu yang lain, skuad Singa Utara perlu menerima hakikat andai penyertaan mereka dibatalkan atas faktor yang cukup jelas.
"Saya tidak fikir kami akan beri penangguhan lagi. Kalau sentiasa ada penangguhan, sudah nampak kami seperti satu jenaka. Daripada MFL, sama ada Perlis boleh memenuhi tuntutan sebelum ini atau kami membuat keputusan lain," kata Yusoff.
Yusoff tidak menolak kemungkinan untuk melanjutkan tempoh masa lebih lama iaitu sehingga penghujung Febuari buat pemain perlis mencari pasukan lain andai satu keputusan ke atas Perlis diputuskan dalam waktu terdekat.
"Kami mungkin perlu menangguhkan sementara jendela perpindahan buat pemain-pemain ini. Jadi, saya fikir itu untuk memberi kelonggaran dan dalam erti kata lain, membantu pemain agar tidak menjadi mangsa keadaan."
Usaha Nadi Arena untuk mendapatkan penjelasan lanjut Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie, gagal setelah beliau sekadar memaklumkan PFA sudah memenuhi tuntutan MFL dan FAM.
Pasukan lain seperti Kelantan, Kuala Lumpur dan PDRM FA turut mengesahkan sudah menyerahkan dokumen kewangan kepada MFL sambil setiausaha agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, tampil memberi penjelasan mengenai isu tersebut.
"MFL yang harus beritahu siapa yang tidak hantar. Lebih baik saya mengunci mulut," katanya.
"Kalau KAFA langsung tidak hantar, bermakna cara kerja kami tidak bagus. Kalau betul kami faham apa yang diinginkan MFL, ia tidak akan menjadi masalah," tambah Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.
MFL mengesahkan lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji sudah menyerahkan dokumen kewangan selepas tempoh diberikan untuk berbuat demikian berakhir petang semalam.
#bola sepak
#FAM
#Liga Bola Sepak Malaysia
#MFL
#Perlis
#Persatuan Bola Sepak Perlis
#PFA
#yusoff mahadi