"Kalau saya sakit bahu, anak saya sakit kanser..." - Pesilat negara Mohd Al-Jufferi

Hasimi Muhamad
Mei 15, 2022 17:35 MYT
Mohd Al-Jufferi Jumari tidak mampu menyembunyikan kesedihan yang dialami apabila berkongsi penderitaan yang dilalui anaknya, Furqan Al Haq yang menghidap kanser.
KUALA LUMPUR: Meskipun misi memburu emas di pentas Sukan SEA ke-31 tidak kesampaian, tetapi semangat juang yang dipamerkan jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jumari tidak langsung mengecewakan rakyat Malaysia.
Di sebalik pingat gangsa yang disumbangkan oleh juara dunia tiga kali itu pada saingan 70-75 kilogram (kg) hari ini, tersimpan kekuatan dan kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.
Pemenang pingat emas empat kali pada temasya Sukan SEA itu mendedahkan, anaknya, Furqan Al Haq yang menghidap kanser menjadi pembakar semangat untuk dia berjuang sehingga ke titik akhir.
Bagi Mohd Al-Jufferi, kecederaan bahu yang dialaminya tidak seberapa jika dibandingkan dengan beban yang ditanggung anak lelakinya itu.
"Saya kuat sebab anak, kalau saya sakit bahu, anak saya sakit kanser... dia lagi kuat, dia budak kan.
"Sebab dia sakit umur 2 atau 3 tahun dah kena kanser. Kena (jalani) kimoterapi, tiap-tiap hari saya pergi hospital... saya tengok dia lemah, letih... saya menangis, dia usap. Dia kata, 'ayah jangan nangis, Haq okay'. Itu je dia cakap.
"Tetapi bila saya kena (sakit) bahu macam ini, tak akan saya tak kuat. Allahuakbar, itu sajalah yang saya fikir. Sebab itu saya nak lawan, tak ada yang lain, anak saya," katanya dalam rakaman video yang dikongsi wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly di laman Twitter, hari ini.

Kalau saya sakit bahu, anak saya sakit kanser. sebab dia sakit umur 2, 3 tahun dah kena kanser -Al Jufferi Jamari @ASTROARENA pic.twitter.com/nWGBuq9aCk

— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) May 15, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Menerusi rakaman tersebut, jelas kedengaran nada sebak pada suara pesilat berusia 30 tahun itu .
Mohd Al-Jufferi, yang membuat penampilan sulung bagi kategori 70-75kg tewas kepada wakil Singapura, Abdul Raazaq Abdul Rashid dalam saingan separuh akhir di Gimnasium Bac Tu Liem, hari ini.
Dia mengalami kecederaan di bahu kanan ketika pusingan kedua pada saingan suku akhir sebelum berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Sementara itu, Mohd Al-Jufferi menerusi hantaran di Instagramnya percaya kegagalan bukanlah pengakhiran buat segalanya.
"Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan berdoa atas perjuangan saya dan terima kasih pada isteri dan anak-anak saya.
"Saya reda dengan takdir ini, seribu perasaan yang tidak terkata. Ya Allah sesungguhnya aku berserah kepada mu. Saya percaya 'kegagalan bukanlah akhir dari segalanya'," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Pada edisi sukan dwitahunan sebelum ini, Mohd Al-Jufferi menguasai kelas E (65-70kg) apabila meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).
#Sukan SEA #Mohd Al-Jufferi Jumari #Anak Mohd Al-Jufferi hidap kanser #berita Malaysia
;