'Kalau saya jadi McGregor pun saya akan bersara' - Dana White

Astro Awani
Mac 26, 2019 19:51 MYT
WHITE: Sekiranya saya jadi dia, saya juga akan bersara. - Gambar fail/REUTERS
PRESIDEN UFC, Dana White yakin pengumuman persaraan yang dibuat bintang seni bela diri campuran (MMA) UFC Conor McGregor pada Selasa, adalah benar.
Menerusi satu kenyataan kepada ESPN, White menyifatkan keputusan McGregor itu suatu yang masuk akal.
"Dia (McGregor) mempunyai wang untuk bersara dan (bisnes) wiskinya sangat berjaya. Ia benar-benar masuk akal.
"Sekiranya saya jadi dia, saya juga akan bersara. Dia bersara dari berlawan. Bukan dari bekerja," katanya dalam kenyataan tersebut.
White berkata, McGregor kini sibuk dengan perniagaannya termasuk urusan-urusan lain.
"Seronok tengok dia! Pencapaiannya dalam sukan ini luar biasa. Saya tumpang gembira dan berharap dapat melihatnya berjaya di luar Octagon sepertimana ketika dia di dalamnya," katanya lagi.
McGregor hari ini mengejutkan peminat dengan mengumumkan persaraannya dari sukan itu.
BACA: Conor McGregor buat kejutan, umum bersara dari MMA
Petinju Ireland berusia 30 tahun itu membuat pengumuman tersebut menerusi kenyataan ringkas di akaun Twitternya pada Selasa.
McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.
Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.
Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).
McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan selama enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.
#Conor McGregor #Khabib Nurmagomedov #McGregor retires from MMA #Mixed Martial Arts #Presiden UFC Dana White #seni bela diri campuran #Ultimate Fighting Championship
;