'Kalau pecahkan kereta saya, saya beritahu bapa kamu'
Haider Yutim
Oktober 10, 2018 21:02 MYT
Oktober 10, 2018 21:02 MYT
JUARA lightweight UFC dunia, Khabib Nurmagomedov 'mengugut' akan memecahkan kereta Presiden UFC Dana White jika tali pinggang yang dimenanginya itu tidak diserahkan kepadanya.
Namun, itu hanyalah satu bentuk gurauan dari jaguh seni bela diri campuran (MMA) Rusia itu di laman Instagramnya, semalam.
"Nasib baik kamu dah serahkan talipinggang pada saya, kalau tidak saya pecahkan kereta kamu. Saya tahu lokasi kereta kamu," katanya sambil bergambar bersama tali pinggang kejuaraanya itu dan bersandar pada sebuah kereta BMW hitam.
Kapsyen itu mendapat reaksi segera dari White yang 'mengadu' akan melaporkan kepada bapanya jika dia berbuat demikian.
"Saya beritahu bapa kamu," kata White, dan kemudiannya dibalas pula oleh Khabib dengan mengatakan, "Tidakkkkk!"
Khabib, meskipun ganas di gelanggang, namun dia juga dikenali dengan sikap amat menghormati orang dan takut dengan bapanya.
Sebelum ini, dia pernah mengakui takut dihempuk bapanya jika pulang ke kampung halamannya di Sidli, Dagestan susulan tindakannya melompat keluar gelanggang dan menyerang kem Conor McGregor pada kejohanan UFC 229, pada Ahad.
Bagi yang baru mengenali Khabib, petarung beragama Islam ini dilatih bapanya sejak kecil dan Abdulmanap diiktiraf sebagai bapa sukan MMA di Dagestan kerana berjaya melahirkan lapan juara dunia dan Olimpik.
Pertarungan yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat itu menyaksikan McGregor dikalahkan menerusi 'submission' (kuncian) pada minit 3.03 pusingan keempat.
Khabib kini mempunyai rekod kemenangan 27-0, sekaligus mengekalkan takhta juara dunia lightweight UFC.
#Dagestan
#Dana White
#juara lightweight
#Khabib Nurmagomedov
#MMA
#Presiden UFC
#Rusia
#seni beladiri diri campuran
#UFC