'Kalau boleh kita mahukan semua piala' - The Red Giants
Astro Arena
Januari 11, 2016 12:00 MYT
Januari 11, 2016 12:00 MYT
'KALAU boleh kita mahukan semua piala'. Itu sasaran yang ditetapkan oleh pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari menjelang kempen Liga Malaysia 2016 dan Piala AFC tahun ini.
The Red Giants akan menghadapi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC untuk musim 2016 serta Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim selaku juara Piala Malaysia 2015.
Menurut laman rasmi FA Selangor, Amirudin menyifatkan strategi pasukan akan dibuat berdasarkan situasi yang bakal dihadapi namun gariskan hasrat mengungguli setiap kejohanan besar.
"Semua pertandingan kita akan beri tumpuan. Itu sudah pasti. Kalau ditanya berapa piala yang mahu dimenangi, kalau boleh kita nak semua piala.
"Tapi kita akan susun semula strategi kita berdasarkan keupayaan dan situasi semasa,” kata Amirudin.
Ramai menjangkakan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan mempamerkan aksi membanggakan namun jadual perlawanan kelihatan padat bagi naib juara Liga Super itu.
“Semua pasukan perlu bersedia untuk saingan kalah mati ini dan bagi saya, ia sebenarnya satu ujian yang bagus untuk pasukan Selangor.
“Dari awal, saya sudah beritahu yang musim 2016 ini Selangor akan berdepan perlawanan yang lebih banyak kerana kita beraksi di Piala AFC. Jadi kita sudah bersedia untuk ke arah itu,”
Bagi Piala FA, Selangor mendapat bye pusingan pertama dan akan bertemu pasukan Liga FAM, AirAsia Allstars FC di pusingan kedua pada 19 Februari. Manakala perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala AFC dijadualkan pada 23 Februari menentang kelab Filipina, Ceres FC di tempat lawan.