Kakak rahsiakan keluarga dijangkiti COVID-19 daripada Latif Romly
Astro Arena
September 6, 2021 06:13 MYT
September 6, 2021 06:13 MYT
RAHAYU Romly, yang merupakan kakak kepada jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, terpaksa merahsiakan bahawa diri dan keluarganya dijangkiti COVID-19 daripada pengetahuan adiknya itu kerana enggan ia mengganggu fokus pemenang pingat emas itu dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Rahayu dan empat anaknya disahkan positif koronavirus bulan lalu sehingga terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di MAEPS Serdang sebelum dibenarkan pulang Khamis lalu.
Dia sempat menghubungi Abdul Latif untuk memberikan kata-kata semangat sebelum adiknya beraksi di Stadium Olimpik Tokyo tetapi merahsiakan keadaan dirinya.
Ternyata ia satu tindakan yang tepat apabila Abdul Latif menamatkan saingan lompat jauh T20 di tempat pertama dengan jarak 7.45 meter, sekali gus melengkapkan sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan kontinjen negara.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Rahayu berkata: "Sebenarnya (saya merahsiakannya) kerana tidak mahu dia risau. Kami sudah mengetahui perkara ini (positif COVID-19) sebelum dia terbang ke Tokyo lagi tetapi kami tidak mahu dia risau dan memilih untuk merahsiakannya.
"Ia supaya dia dapat fokus kepada lompatannya sehingga saat-saat akhir.
"Tetapi Alhamdulillah, apabila kami sudah boleh balik, kami dapat melihat dia memenangi pingat emas.
"Sewaktu itu, kami sudah memotong gelang (pesakit) dan dapat berada di rumah untuk menonton secara langsung Latif beraksi.
"Alhamdulillah, cuma risau apabila dia tercedera ketika lompatan kelima.
"Sehari selepas dia beraksi, saya ada menghubunginya untuk bertanya khabarnya dan barulah kami memberitahunya perkara sebenar," katanya.