KAFA nafi arah Azman Ibrahim letak jawatan

Astro Arena
Julai 16, 2015 08:04 MYT
Akhbar tempatan melaporkan Azman yang telah menjadi pengurus pasukan Kelantan sejak enam tahun lalu telah diarahkan untuk meletakkan jawatan.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan kononnya telah mengarahkan Azman Ibrahim untuk meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan Kelantan.
Naib Presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata perkara berkenaan hanyalah habar angin yang dibuat oleh pihak tertentu.
"Saya tidak tahu maklumat itu datangnya dari mana sebab dalam mesyuarat kita tidak pernah bincang mengenai perkara berkenaan.
"Saya juga ada bercakap dengan Presiden (Tan Sri Annuar Musa) dan dia juga menyatakan tiada arahan dikeluarkan mengenai perkara itu...ini semua khabar angin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Skim Insentif kepada Atlet Kelantan di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan di sini, hari ini.
Semalam, akhbar tempatan melaporkan Azman yang telah menjadi pengurus pasukan Kelantan sejak enam tahun lalu telah diarahkan untuk meletakkan jawatan.
Beliau berkata pihaknya menganggap khabar angin itu sebagai satu perkara yang serius memandangkan pasukannya kini sedang bergelut dengan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.
"Ini serius dan khabar angin ini satu benda yang tidak baik kerana pasukan kini dalam prestasi 'yo-yo' dan ia akan menjejaskan fokus pasukan untuk kembali beraksi pada tahap sebenar" katanya.
Sementara itu, Rosmadi berkata setakat ini pihaknya masih belum membuat sebarang ketetapan untuk mencari jurulatih baharu bagi pasukan The Red Warriors (TRW).
"Soal jurulatih, kali terakhir saya berbincang dengan presiden adalah kita teruskan dengan (penyandang jurulatih) Zahasmi Ismail dahulu.
"Tetapi apa-apa keputusan kita akan buat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dan mungkin akan ada satu mesyuarat," katanya.
Mengulas mengenai majlis berkenaan beliau yang juga Timbalan Pengerusi MSN Kelantan berkata pihaknya menyerahkan insentif kepada 11 atlet dari Kelantan yang cemerlang pada Sukan SEA 2015 di Singapura baru-baru ini.
"Kita beri sagu hati antara RM500 hingga RM2,000 untuk setiap atlet khusus untuk meraikan mereka yang berjaya," katanya.
#Azman Ibrahim #KAFA #Rosmadi Ismail
;