KAFA bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tuntutan gaji 11 bekas pemain

Bernama
Januari 14, 2021 20:14 MYT
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tuntutan tunggakan gaji daripada 11 bekas pemain pasukan bola sepak Kelantan (Kelantan FC).
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tuntutan tunggakan gaji daripada 11 bekas pemain pasukan bola sepak Kelantan (Kelantan FC).
Setiausaha Agung KAFA Hussin Deraman berkata baki hutang itu adalah tanggungjawab pihaknya, selepas Kelantan FC dimiliki sepenuhnya oleh ahli perniagaan Norizam Tukiman, sejak September tahun lepas.
"Ini (tuntutan itu) diluar senarai RM6.8 juta yang terlibat dalam perjanjian bersama Norizam, ketika membeli saham 100 peratus pasukan Kelantan. Jadi buat masa ini saya tidak boleh beri kenyataan selebihnya," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
BACA: Kafa, MUSA diarah jelaskan tunggakan gaji pemain
Terdahulu, Bernama melaporkan Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini, sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam dipetik sebagai berkata, keputusan itu dicapai pada Jawatankuasa Status FAM dan bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM, sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
"Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab bola sepak sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain," kata Stuart.
Sebelum ini, dilaporkan 11 bekas pemain Kelantan telah membuat tuntutan rasmi berjumlah RM187,778.92 kepada KAFA, antaranya Muhammad Fauzi Rozlan berjumlah RM63,628.18, Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000), Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).
-- BERNAMA
#KAFA #Persatuan Bola Sepak Kelantan #Hussin Deraman #tunggakan gaji #Kelantan FC #baki hutang
;