KAFA akan buat rayuan berhubung pemotongan mata

Bernama
Mei 3, 2017 18:28 MYT
ANNUAR: FMLLP memerlukan satu penyelesaian dan keadah yang bersesuaian.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat rayuan terhadap Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pemotongan mata yang dikenakan terhadap Kelantan semalam.
Penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan pemotongan mata dilihatnya tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sesuatu persatuan, bahkan hanya memberi lebih tekanan kepada pihak pengurusan dan pemain.
"Jika mereka sentuh soal hutang, kenapa bekas pemain pertahanan Selangor, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu beliau masih belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya itu.
"Kenapa hal itu seolah-olah ditutup, bukankah ia perkara dan situasi yang sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Larian Bendera Sempena Sambutan Ulang Tahun ke -71 UMNO di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini, hari ini.
Semalam, FMLLP mengumumkan dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.
Sementara dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib yang sama setelah gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata pihaknya melihat tindakan terbabit sebagai jalan singkat dalam menangani masalah yang berlaku dalam KAFA.
"Walaupun tindakan itu satu tindakan tegas dan berani yang dikenakan kepada Kelantan namun bagi saya, FMLLP memerlukan satu penyelesaian dan keadah yang bersesuaian.
"Ia hanya memberikan lebih tekanan kepada pihak yang dikenakan tindakan walaupun tindakan itu satu pengajaran kepada pasukan lain dan KAFA sendiri," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #bola sepak #FAM #KAFA #Kelantan #pemotongan mata #Persatuan Bola Sepak Malaysia
;