Kad merah Mac Allister dibatalkan
Sinar Harian
Ogos 23, 2023 10:40 MYT
Ogos 23, 2023 10:40 MYT
LAYANGAN kad merah kontroversi yang diterima oleh pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister ketika menentang Bournemouth telah dibatalkan selepas The Reds membuat rayuan.
Mac Allister dibuang padang oleh pengadil, Thomas Bramall selepas mengasari pemain tengah Bournemouth Ryan Christie pada minit ke-58 ketika Liverpool menang 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berang dengan keputusan itu dan mendakwa Mac Allister tidak melakukan kekasaran serius terhadap pemain Bournemouth itu.
"Selepas perlawanan saya melihatnya semula. Saya rasa selain sentuhan, tiada perkara lain dan kad kuning sudah mencukupi.
"Ia satu keputusan yang kita semua bersetuju, jika dia memberikan kad kuning, VAR tidak akan menukarnya dan jika dia memberikan kad merah, VAR juga tidak akan mengubahnya kerana ada sentuhan bermakna satu kesalahan yang kurang jelas," kata Klopp.
Mac Allister akan digantung tiga perlawanan jika kad merah itu dikekalkan, tetapi kini dia bebas untuk kembali ke pasukan dan boleh diturunkan menentang Newcastle United pada Ahad.
"Suruhanjaya kawal selia bebas telah membatalkan penggantungan tiga perlawanan Alexis Mac Allister," kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Inggeris.
Liverpool mengulas keputusan FA Inggeris itu dengan berkata: "Rayuan kelab ke atas penggantungan mendapat sokongan jawatankuasa bebas, bermakna Mac Allister boleh beraksi apabila The Reds bertandang ke Newcastle United pada Ahad." - Sinar Harian