JWC: Skuad Malaysia ikat Belgium dengan keputusan seri 1-1

Bernama
November 26, 2021 05:15 MYT
Antara aksi menarik dalam saingan Piala Dunia Remaja Lelaki FIH 2021 antara Malaysia dan Belgium yang berlangsung di Bhubaneswar, India, 26 Nov 2021. - Facebook International Hockey Federation (FIH)
KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja negara seri 1-1 ketika menentang Belgium dalam saingan Piala Dunia Remaja Lelaki FIH 2021 yang berlangsung di Bhubaneswar, India malam tadi.
Dalam aksi Kumpulan A di Stadium Kalinga itu, skuad negara menjaringkan gol pertama pada separuh masa pertama melalui Muhammad Amirul Hamizan Azahar menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-29.
Belgium bagaimanapun menjaringkan gol penyamaan melalui Thibeau Stockbroekx, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.
Anak buah Wallace Tan itu, yang memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ketika menentang Chile, kini hanya perlu mengelak tewas di tangan pasukan Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Sabtu ini untuk menempah tiket ke perlawanan suku akhir.
Belgium, yang sebelum ini membenam Afrika Selatan 5-1, akan berdepan Chile.
Meskipun Belgium dan Malaysia masing-masing mengumpul empat mata, Belgium berada di tangga teratas kumpulan berdasarkan jaringan gol diikuti Afrika Selatan (3 mata) dan Chile (0).
-- BERNAMA
#hoki remaja #Belgium #Piala Dunia Remaja Lelaki #Bhubaneswar
;