Juwaidi pecah rekod kebangsaan, skuad memanah mula bergaya di Antalya
Bernama
April 19, 2023 06:40 MYT
April 19, 2023 06:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pemanah berpengalaman negara, Mohd Juwaidi Mazuki, berjaya memperbaharui rekod kebangsaan compound individu lelaki miliknya pada Piala Dunia Memanah 2023 Peringkat 1 di Antalya, Turkiye, pada Selasa.
Pada pusingan kelayakan menurut https://www.worldarchery.sport/ , pemenang dua pingat emas Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, tahun lepas, mengumpul keseluruhan 714 mata selepas 72 panahan sekali gus memadam rekod lama 709 mata yang dicipta di kejohanan Memanah Asia 2019.
Atlet berusia 32 tahun itu, yang menduduki ranking ke-161, akan berdepan Yang Chen-Jui dari Taiwan pada saingan pusingan pertama.
Pada masa sama, pemanah elit wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-14 selepas mengumpul keseluruhan 701 mata dan bakal membuat perhitungan bersama Viktoriya Lyan dari Kazakhstan di pusingan pertama.
Dalam pada itu, Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah yang berpasangan dalam acara compoud berpasukan campuran mengumpul keseluruhan 1,415 mata untuk mengakhiri pusingan kelayakan di posisi keenam terbaik dan menanti lawan antara Estonia dan Poland di pusingan kedua selepas diberi 'bye' di pusingan pertama.
Sementara itu, pemanah muda yang membuat penampilan di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Syaqiera Mashayikh mengumpul keseluruhan 597 mata untuk menamatkan saingan kelayakan recurve individu wanita di tempat ke-27.
Malaysia turut mempunyai wakil dalam beberapa acara seperti recurve berpasukan lelaki dan wanita, recurve berpasukan campuran dan compound berpasukan lelaki yang berjaya mara sehingga ke pusingan suku akhir.
Piala Dunia Memanah Peringkat 1 di Antalya berlangsung dari 18-23 April ini.
Selepas ini, saingan Peringkat 2 dijadual berlangsung di Shanghai, China dari 16-21 Mei diikuti Peringkat 3 di Medellin, Colombia 13-18 Jun dan Peringkat 4 di Paris, Perancis dari 15-20 Ogos sebelum pusingan akhir dijangka diadakan di Hermosillo, Mexico, September ini.
-- BERNAMA