Justin mahu jadi pemilik penuh Melaka United

Astro Arena
Januari 15, 2022 07:01 MYT
Justin berkata dia masih dalam perbincangan dengan MUSA dan masih belum ada kata putus, tetapi yakin struktur baru akan dimuktamadkan sebelum musim ini bermula. - Foto Astro ARENA
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Justin Lim, mahu menjadi pemilik penuh dengan pegangan 100 peratus saham kelab itu selepas tampil menyelesaikan isu tunggakan gaji kelab dari selatan berkenaan.
Dia - yang menerusi KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) muncul pemilik baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) pada April tahun lalu dengan menguasai 70 peratus pegangan saham - difahamkan menggunakan duit poket sendiri demi mengotakan janji dengan melunaskan bayaran gaji pemain dan jurulatih yang tertunggak selama tiga bulan.
"Saya masih dalam perbincangan dengan MUSA, belum ada kata putus lagi tetapi sudah pastinya struktur baru akan dimuktamadkan sebelum musim ini bermula.
"Memang ketika ini ekuiti pegangan saham di antara kami adalah 70-30 peratus, tapi saya tidak menuding jari dan apa yang penting adalah saya tampil menyelesaikan permasalahan ini.
"Selain itu, ada kenyataan yang dibuat di media sosial adalah tidak benar, apa pun saya tidak mahu mempertahankan perkara yang salah.
"Apa yang penting pemain sendiri yang mahu saya meneruskan khidmat kerana tanpa sokongan saya, saya fikir kita tidak akan tahu ke manakah hala tuju Melaka.
"Saya berbesar hati pemain berterima kasih dan mengiktiraf usaha kami," katanya di Nadi Weekend semalam.
Justin, bagaimanapun, keberatan untuk mendedahkan jumlah dana yang telah dikeluarkannya, namun gembira kerana isu tunggakan gaji kelab itu sudah terlerai.
#melaka united #Justin Lim #pemilik penuh Melaka United #tunggakan gaji
;