Jurulatih TFC 2 kecewa anak buah 'lambat panas'

Bernama
Februari 9, 2019 10:16 MYT
Tengku Hazman tidak menolak faktor keserasian antara pemain TFC 2 (gambar) mempengaruhi corak permainan hambar yang dipamerkan malam tadi. Facebook Terengganu FC
Pengendali Skuad Terengganu Football Club 2 (TFC 2) Tengku Hazman Raja Hassan mengakui sedikit kecewa dengan aksi anak buahnya yang 'lambat panas' pada perlawanan menentang pendatang baharu Liga Perdana, Selangor United yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.
Meskipun berjaya mengatasi pasukan pelawat dengan 1-0 hasil jaringan penalti Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-65, namun peluang menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama gagal disempurnakan.
"Permulaan perlawanan untuk 25 minit pertama itu sangat perlahan...separuh masa pertama banyak kita habiskan dengan bermain secara taktikal sahaja…hanya pada separuh masa kedua baru kita bermain sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.
Dalam aksi separuh masa pertama semalam, hanya satu percubaan bahaya daripada skuad The Turtles melalui sepakan percuma pemain kelahiran Ivory coast, Dechi Marcel pada minit ke-20 yang terkena palang gol pelawat.
Tiga lagi percubaan menerusi tandukan Wasiu pada minit ke-29, sepakan percuma Marcel pada minit ke-43 dan 45 sekadar mencemaskan kubu pelawat.
Pasukan pelawat hanya memperoleh satu percubaan menerusi sepakan percuma pemain kelahiran Argentina, Sergio Fabian Ezequiel pada minit ke-16 yang gagal menembusi gawang tuan rumah dan percubaan selebihnya dilihat tersasar.
Tengku Hazman tidak menolak faktor keserasian antara pemain mempengaruhi corak permainan hambar yang dipamerkan anak buahnya malam tadi.
"Kita tiada masalah dengan gandingan antara Akanni (Sunday) dan Bruno (Suzuki) tetapi untuk pemain yang baru digandingkan bersama seperti Mohammad Ridzuan dan Mohammad Ramzi... kita nampak ada 'lack of combination play'," katanya.
Katanya keserasian itu belum dapat dibentuk sepenuhnya berikutan pasukan itu hanya mempunyai empat perlawanan pramusim bersama pasukan Felda United, MIFA, Pahang dan UITM FC.
"Kita juga sebelum itu masih menunggu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkenaan status kita di Liga Perdana... sebab itu saya agak terkilan kerana tidak mempunyai cukup masa untuk membentuk pemain... tapi saya yakin prestasi mereka akan lebih baik selepas mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak #Liga Perdana #Selangor United #tengku hazman raja hassan
;