Jurulatih tempatan, luar negara perlu jaga dengan penuh hormat - PJBM
Bernama
Ogos 12, 2023 05:20 MYT
Ogos 12, 2023 05:20 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) hari ini menggesa agar semua pihak berkaitan untuk melayan kesemua jurulatih sama ada tempatan mahupun luar negara dengan penuh hormat.
Presiden Sementara, Datuk Ong Kim Swee berkata, berikutan laporan mengenai seorang jurulatih dari luar negara yang ketika ini berhadapan masalah, PJBM dengan tegasnya mengutuk sebarang tindakan yang tidak menjaga kebajikan para jurulatih.
"Kami telah dapat tahu bahawa kebajikan jurulatih dari luar negara yang telah mencurahkan masa dan kepakaran beliau kepada komuniti bola sepak negara, telah tidak dijaga oleh majikannya sebelum ini.
"Walaupun kami tahu setiap situasi mungkin berbeza, kami mahu menegaskan bahawa kebajikan jurulatih, sama ada tempatan ataupun dari luar negara, mesti dilayan dengan penuh hormat dan pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kim Swee yang juga ketua jurulatih Sabah berkata, PJBM percaya jurulatih memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan bola sepak Malaysian dengan menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman mereka kepada landskap bola sepak negara.
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berkata, dedikasi dan semangat jurulatih wajar dibalas dengan komitmen penjagaan kesejahteraan mereka, termasuk imbuhan yang adil, kehidupan yang sesuai dan sokongan keseluruhan.
"Sebagai sebuah persatuan, kami komited untuk memperjuangkan kebajikan jurulatih dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti bola sepak, bagi memastikan pengabaian seperti yang berlaku itu, dapat ditangani dengan segera dan berkesan.
"Kami menggalakkan ketelusan, dialog terbuka dan akauntabiliti dalam semua perkara yang berkaitan dengan kebajikan jurulatih," katanya.
Sementara itu Kim Swee berkata, PJBM menjemput semua ahli persatuan bola sepak untuk menyertai mereka dalam memperjuangkan kebajikan jurulatih, tanpa mengira dari mana mereka berasal.
Khamis lepas, media tempatan melaporkan seorang jurulatih import dalam saingan Liga Super dipercayai bekas pengendali Kelantan FC Frank Bernhardt, hidup dalam keadaan tersepit di sekitar Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu, namun Bernhardt hari ini menafikan laporan itu. - BERNAMA