Jurulatih renang Australia dipecat kerana sokong atlet Korea Selatan

Astro Awani
September 6, 2024 10:44 MYT
Acara 400m gaya bebas lelaki tersebut dimenangi oleh Lukas Maertens dari Jerman, atlet Australia Elijah Winnington meriah pingat perak dan Woo Min dari Korea Selatan memenangi gangsa. - Foto fail/AP
SYDNEY: Badan pengelola Renang Australia (SA) memecat seorang jurulatih Olimpik mereka atas alasan merosakkan reputasi apabila menyokong seorang atlet Korea Selatan yang bersaing menentang atlet negara sendiri.
Jurulatih Michael Palfrey sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila beliau menyatakan harapan agar Kim Woo Min yang pernah dilatihnya memenangi acara 400m gaya bebas lelaki yang mana ia turut disertai dua atlet Australia dalam acara sama.
Ketua jurulatih, Rohan Taylor berkata, tindakan berkenaan tidak mencerminkan semangat kenegaraan namun mereka tidak terus memecat pada masa itu agar ia tidak menganggu perjalanan temasya.
"Palfrey disahkan melanggar kontrak pekerjaaannya dengan mencemarkan nama baiknya sehingga menyebabkan kerosakan serius pada reputasi skuad renang negara dan kepentingan badan pengelola," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau sebelum ini melatih tiga perenang Australia dan pernah membimbing Woo Min semasa atlet itu menjalani latihan di Brisbane menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Kontroversi tercetus apabila Palfrey menyatakan sokongan dengan berharap Woo Min menang dan dapat berenang dengan baik sambil menyatakan 'Go Korea' ketika ditemu bual oleh wartawan dari Korea Selatan sehari sebelum persaingan bermula.
Acara tersebut dimenangi oleh Lukas Maertens dari Jerman, atlet Australia Elijah Winnington meriah pingat perak dan Woo Min memenangi gangsa.
#Jurulatih renang Australia #Kim Woo Min #Michael Palfrey #Sukan Olimpik Paris 2024
;