Jurulatih Priestman mohon maaf atas insiden dron intip
Bernama
Julai 29, 2024 13:00 MYT
Julai 29, 2024 13:00 MYT
LONDON: Ketua jurulatih pasukan wanita Kanada, Bev Priestman mengeluarkan permohonan maaf dan berjanji untuk memberi kerjasama dalam siasatan terhadap dua insiden yang didakwa melibatkan dron digunakan untuk mengintip pihak lawan, New Zealand, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Priestman, yang membimbing Kanada meraih gelaran Olimpik di Tokyo tiga tahun lalu dihantar pulang pada Rabu bersama penolong jurulatih Jasmine Mander dan Joseph Lombardi, seorang penganalisis tidak bertauliah dari Canada Soccer, selepas dipercayai merakam sesi latihan New Zealand menggunakan dron dalam dua kejadian berasingan.
Pada Sabtu, FIFA menerbitkan keputusan prosiding tatatertib terhadap Persatuan Bola Sepak Kanada (CSA), Priestman, Lombardi dan Mander, mengesahkan bahawa ketiga-tiga mereka telah digantung daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama setahun.
Selain itu, Kanada dikenakan pemotongan enam mata secara automatik daripada kempen Olimpik mereka.
Priestman menzahirkan kesedihannya atas insiden itu, tetapi menggesa peminat untuk terus menyokong pasukan itu di Paris.
"Saya amat berdukacita untuk para pemain, dan saya ingin memohon maaf atas kesan situasi ini terhadap mereka semua.
"Saya tahu betapa gigihnya mereka berusaha selepas 2023 yang sangat sukar dan mereka adalah sekumpulan individu yang sangat mengambil berat tentang semangat kesukanan dan integriti.
"Sebagai ketua pasukan di atas padang, saya mengambil tanggungjawab ini dan saya merancang untuk bekerjasama dalam siasatan.
"Untuk Kanada, saya minta maaf... Saya harap anda akan terus menyokong pemain yang sangat berbakat dan gigih, untuk membantu mereka menentang segala rintangan dan mempamerkan watak sebenar mereka.
"Program dan pasukan ini telah membolehkan negara mencapai kemuncak bola sepak wanita dan kemenangan pingat emas mereka diperoleh melalui ketabahan dan keazaman yang tinggi, walaupun terdapat laporan sebaliknya," katanya.
-- BERNAMA