Jurulatih gusar Khairul Hafiz tenggelam kerana liputan media
Astro Arena
Julai 31, 2016 22:15 MYT
Julai 31, 2016 22:15 MYT
JURULATIH olahraga Melaka, Mohd Poad Kassim, mengakui gusar andai anak didiknya, Khairul Hafiz Jantan, tenggelam dengan segala pemerhatian media ke atasnya, sekali gus menjejaskan prestasinya pada masa akan datang.
Bagi Mohd Poad, dia tidak risau melihat prestasi seorang lagi atlet, Badrul Hisham Abdul Manap, yang gagal menyerlah dalam Sukma kali ini tetapi ada kegusaran lebih besar tersimpan di hatinya.
Mohd Poad tidak mahu Khairul Hafiz hanyut dan apa yang dialami Badrul Hisham cukup untuk dijadikan sebagai pengajaran.
"Sebenarnya, kerisauan itu memang kerana apa yang berlaku kepada Badrul menjadi pengajaran kepada jurulatih sendiri.
"Kami juga ada berbincang dengan Khairul dan Badrul dan Khairul juga sedar apa yang berlaku kepada Badrul itu mampu mengganggu prestasi," ujarnya.
Mohd Poad tidak menafikan betapa dia berbesar hati melihat anak didiknya itu berjaya berada di prestasi terbaik dalam saingan Sukma, sekaligus mengundang perhatian media dan orang ramai.
Mengenai kemerosotan Badrul Hisham, jurulatih itu berkata: "Dia masih muda, jadi saya tidak risau kerana dia baru berusia 19 tahun. Saya yakin Badrul akan kembali bangkit bersama Khairul selepas ini."
Mengulas kecemerlangan Melaka memastikan lima pingat emas keseluruhan, termasuk prestasi anak buahnya yang mencapai tahap kebangsaan, Mohd Poad mengakui dia terpaksa memegang telefon bimbit setiap atletnya sepanjang empat hari acara olahraga berlangsung.
"Untuk pengetahuan, saya memang pegang telefon masing-masing supaya tiada gangguan."