Jurugambar kesal difitnah berhubung pergaduhan penyokong Perak-JDT

Astro Awani
Ogos 8, 2016 22:56 MYT
Jurufoto New Straits Times Press (NSTP), Supian Ahmad, 36, yang cedera dipukul dalam kekecohan selepas perlawanan Liga Super antara Perak dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu menafikan dakwaan ia lakonan yang dirancang. - Foto Bernama
Jurugambar kumpulan NSTP, Supian Ahmad yang dibelasah penyokong bola sepak selepas perlawanan Liga Super Perak dan JDT di Stadium Perak pada Sabtu, kesal kerana dilempar dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.
Menurutnya, selepas video dan gambarnya menjadi viral, khususnya dalam media sosial, ada pihak yang menuduhnya menipu, dibayar dan berat sebelah.
“Saya ini media. Saya datang sebagai satu entiti yang neutral untuk merakamkan segala apa yang berlaku malam tu, atas sebab kerja dan atas sebab tugasan yang diberi tetapi kenapa saya dibelasah? Kenapa saya dipukul dengan begitu teruk sekali, saya tidak tahu.
“Saya rasa sedikit terkilan apa-apa yang berlaku selepas itu tetapi yang paling menyakitkan hati saya apabila dalam media sosial ini, banyak tuduhan kepada media, terutamanya saya yang dituduh dapat duit, saya dibayar, saya menipu dengan cakap kamera saya hilang,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengamal Media Perak dan wakil Persatuan Bolasepak Perak (PAFA)di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada Sabtu, berlaku kekecohan selepas perlawanan yang menyaksikan tuan rumah Perak tewas 0 - 1 di tangan JDT.
Semasa kekecohan, Supian yang sedang merakamkan insiden dari dalam padang, dikatakan diserang sekumpulan penyokong, manakala kameranya dirampas.
Supian berkata, tindakan pantas polis dan pegawai PAFA membolehkan kameranya ditemui semula, walaupun mengalami kerosakan.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden berkenaan, Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Wan Asrudi Wan Hassan mencadangkan supaya Kerajaan mewujudkan satu akta perlindungan pengamal media bagi melindungi mereka ketika bertugas.
Ini jelasnya, kerana insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku dan sewajarnya ia dipadang serius oleh semua pihak.
#balingan objek keras #JDT #jurugambar NSTP #kekecohan #Liga Super #Perak #Stadium Perak #Supian Ahmad
;