Jurgen Klopp pilihan utama pengurus baharu gantikan Brendan Rodgers

Shuhami Zabri
Oktober 5, 2015 23:21 MYT
Selain Klopp, bekas pengendali Chelsea dan Real Madrid, Carlo Ancelotti, 56, antara dua calon tersenarai sebagai pengganti Rodgers, namun kalangan peminat skuad 'The Reds' itu mahu Klopp yang dipilih. - Gambar Fail
Pemecatan Brendan Rodgers awal pagi tadi menjadikan bekas pengendali skuad Borussia Dortmund, Jurgen Klopp sebagai pilihan utama Liverpool untuk mengisi kekosongan jawatan pengurus baharu kelab itu.
Klopp menjadi pilihan utama untuk jawatan itu selepas Rodgers dipetik oleh AFP telah dihubungi Presiden Fenway Sports Group (FSG), Mike Gorden yang memaklumkan pemecatannya selepas Liverpool sekadar seri 1-1 dengan Everton di Goodison Park, semalam.
Selain Klopp, bekas pengendali Chelsea dan Real Madrid, Carlo Ancelotti, 56, antara dua calon tersenarai sebagai pengganti Rodgers, namun kalangan peminat skuad 'The Reds' itu mahu Klopp yang dipilih.
Pemecatan Rodgers berlaku selepas hampir tiga setengah tahun dia mengendalikan Liverpool dengan skuad itu kini berada di kedudukan ke-10 dalam Liga Pedana Inggeris (EPL).
Liverpool dalam satu kenyataan berkata, pencarian bagi pengurus baharu sedang giat dilakukan.
"Kami sedang berusaha untuk mencari jurulatih baharu dan kami berharap untuk membuat temu janji dengan cara yang tegas dan tepat pada masanya," kata kenyataan itu lagi.
Liverpool hanya menang empat daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Sementara itu, menurut laporan BBC yang dipetik sebagai berkata, setakat ini, tiada persetujuan dicapai dengan Klopp, 48, yang telah membawa Dortmund untuk menjuarai dua kali, Liga Jerman, Budesliga.
Dalam pada itu, Klopp memberitahu Liverpool yang dia hanya akan datang ke Anfield bagi menggantikan Rodgers jika diberi kuasa pemutus dalam proses perpindahan pemain kelab EPL itu.
Bekas pengendali Borussia Dortmund itu menurut Daily Mail Online dilaporkan, berminat untuk datang ke Anfield, namun memberitahu kelab itu dia tidak akan mematuhi arahan jawatankuasa perpindahan yang membuat keputusan buruk dalam tempoh dua, tiga tahun lalu.
Klopp memberitahu Liverpool bahawa dia gembira menerima nasihat dan cadangan mengenai pemain tetapi mahu kata putus dibuat oleh dirinya sendiri.
Ini adalah antara keistimewaan yang tidak dinikmati Rodgers sepanjang tiga musim bersama kelab itu sebelum ini
Daily Mail Online difahamkan, Klopp dan Liverpool sudahpun berhubung dan kelab EPL itu berminat untuk melantiknya sebagai pengurus baharu.
Kedudukan Klopp yang tidak terikat dengan mana-mana kelab ketika ini, dikatakan faktor utama pemilihannya serta yang membawa kepada pemecatan Rodgers yang sudah diputuskan seminggu lalu itu.
Klopp menempa nama sebagai antara pengendali prolifik di Eropah selepas membawa enam piala buat Dortmund sepanjang lapan tahun khidmatnya, antaranya kejuaraan Bundesliga musim 2010/11 dan 2011/12 serta naib juara Liga Juara-Juara Eropah 2013/14 yang menyaksikan Dortmund tewas kepada musuh tetangga, Bayern Munich.
#Borussia Dortmund #Brendan Rodgers #Fenway Sports Group #jurgen klopp #Mike Gorden
;