Jurgen Klopp nafi akan kemudi Jerman
Astro Arena
Mac 10, 2021 15:59 MYT
Mac 10, 2021 15:59 MYT
JURGEN Klopp menafikan dakwaan bahawa dia akan menggantikan Joachim Low selaku ketua jurulatih Jerman.
Pengurus Liverpool itu dilaporkan berkata pada Rabu bahawa dia kekal komited dengan pasukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
Terdahulu, Low mengumumkan bahawa dia akan menamatkan eranya selama 15 tahun selaku pengendali skuad kebangsaan Jerman sebaik selesai saingan Euro 2020.
Nama Klopp mengisi senarai teratas dalam satu undian awam di Jerman bagi melihat jurulatih mana yang dimahukan peminat untuk menggantikan Low tetapi bekas pengendali Borussia Dortmund berusia 53 tahun itu beranggapan dirinya sudah terkeluar daripada senarai itu.
Ditanya sama ada mungkin tugas itu datang terlalu awal buatnya, Klopp berkata: "Mungkin anda boleh bertanyakan soalan itu dengan sedikit berbeza, adakah saya boleh menjadi pengurus atau jurulatih skuad kebangsaan Jerman selepas musim panas ini -- jawapannya tidak.
"Joachim Low telah melakukan tugasnya dengan baik buat bertahun-tahun lalu. Saya fikir dia paling lama mengisi jawatan itu di Jerman dan antara yang paling berjaya. Dia telah melakukan tugasnya dengan amat baik.
"Saya faham dia mahu menamatkannya dalam Kejohanan Eropah dan mencuba untuk meraih segala-galanya yang termampu dalam kejohanan itu dan kemudian menyerahkannya kepada orang lain.
"Saya yakin dengan jumlah pengurus yang amat bagus di Jerman buat masa ini, FA Jerman akan mendapatkan penyelesaian yang bagus," katanya.
Liverpool akan berdepan RB Leipzig dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah dengan berbekalkan kelebihan dua gol awal pagi esok.
#jurgen klopp
#Joachim Low
#Jerman
#Liverpool
#Liga Perdana Inggeris
#Euro 2020
#Borussia Dortmund
#RB Leipzig