Jupha sumbang emas pertama Malaysia
Bernama
Februari 16, 2018 19:06 MYT
Februari 16, 2018 19:06 MYT
Pelumba trek wanita negara, Jupha Somnet memastikan Malaysia membuka tirai Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2018 (ACC) dengan bergaya apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam acara perlumbaan mata hari ini.
Kemenangan di Velodrom Nasional di sini menyaksikan satu kejayaan manis berjaya dilakar pelumba kelahiran Perlis itu apabila muncul pelumba wanita negara pertama menyumbang pingat emas dalam kejohanan itu.
Jupha, 24, mengumpul 35 mata keseluruhan meninggalkan pelumba Hong Kong, Xiaojuon Diao di tempat kedua (25 mata) diikuti Ke Xin Zeng dari Taiwan di tempat ketiga (21 mata).
Pada perlumbaan tersebut, Jupha mempamerkan kayuhan bertenaga sepanjang perlumbaan 80 pusingan selain berjaya memungut 20 mata selepas berjaya membuat pecutan solo meninggalkan kelompok besar pelumba sebelum memintas kelompok terbabit di pertengahan perlumbaan.
"Saya tidak menetapkan sebarang sasaran ketika turun ke trek kerana saya hanya membuat persiapan sebulan sebelum kejohanan ini berlangsung.
"Namun saya berazam untuk memberikan yang terbaik dan saya terkejut kerana berjaya menyumbang emas buat negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara penyampaian hadiah.
Sebagai rekod, Jupha sebelum ini pernah meraih pingat perak dalam acara sama pada edisi 2016 di Jepun.
-- BERNAMA