June Wei rangkul kejuaraan Cabaran Antarabangsa Malaysia
Bernama
November 17, 2019 18:20 MYT
November 17, 2019 18:20 MYT
Pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei terus menampilkan aksi terpuji apabila merangkul kejuaraan pada kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Turun selaku pilihan kelapan kejohanan, June Wei bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain China, Ren Peng Bo yang juga pilihan keenam, 21-16, 19-21, 21-18 dalam masa satu jam 12 minit, sekali gus meraih gelaran keduanya di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini meraih gelaran pada Terbuka Antarabangsa Belanda ke-19 pada April tahun lepas, membawa pulang hadiah wang tunai US$1,875 (kira-kira RM7,790), pingat dan trofi.
Ketika ditemui Bernama, June Wei yang kini menghuni ranking ke-75 dunia, berpuas hati dengan pencapaiannya itu kerana berjaya menebus kekecewaan pada beberapa kejohanan sebelum ini.
"Semua orang sokong saya (beraksi di tempat sendiri). Namun ia bukan perlawanan yang mudah kerana lawan saya (Peng Bo) bagus. Saya pernah kalah dan menang berdepan dia," kata June Wei.
June Wei berkata selepas ini, beliau akan menyertai kejohanan Gwangju Korea Master 2019 bermula 19 Nov.
Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek memuji peningkatan prestasi dipamerkan June Wei dan beberapa pemain negara yang lain pada kejohanan tersebut.
"June Wei, beliau masih muda dan perjalanan kariernya masih jauh. Apa pun, kita harap dia boleh pergi lebih jauh (dalam arena badminton)," kata Misbun.
-- BERNAMA