June Wei ketepi 'hari raya' Cina berlatih di Dubai
Astro Arena
Januari 31, 2022 06:30 MYT
Januari 31, 2022 06:30 MYT
PERSEORANGAN profesional negara, Cheam June Wei korbankan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk berlatih di Dubai bersama nama-nama besar seperti pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan Juara Dunia 2021, Loh Kean Yewm selepas tamat siri Kejohanan di India Ahad lalu.
June Wei menjadi ahli terbaharu 'Kelab Viktor Axelsen' yang menjalani latihan intensif bersama di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Difahamkan, June Wei, 25, terpaksa melupakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di Pulau Pinang hari ini demi mencapai impiannya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Dia dijadualkan berlatih bersama pemain nombor satu dunia Axelsen dan rakannya di Kompleks Sukan Nad Al-Sheba (NAS), Dubai selama kira-kira dua minggu hingga pertengahan Februari ini.
"Selepas tamat Terbuka India, saya memilih untuk tidak kembali ke Malaysia kerana perlu menjalani proses kuarantin dan saya memilih untuk ke Dubai menjalani latihan bersama Victor Axelsen," kata June Wei.
"Ia merupakan pengalaman yang sangat baru namun setiap pemain yang berada di sini sentiasa memberikan persaingan untuk melonjakkan lagi mutu permainan.
"Sebelum ini, saya hanya mengikut arahan telah ditetapkan jurulatih sebaliknya di sini, saya perlu menentukan apa yang perlukan dan ia mampu mematangkan saya lagi."