Jun Qian sambar kejuaraan Kejohanan Skuasy Remaja 2024

Bernama
Mac 2, 2024 17:17 MYT
Pemain skuasy Selangor, Tay Jun Qian menjuarai Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan 2024 selepas menewaskan wakil Kuala Lumpur, Hashvind Kugan hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki Selangor Tay Jun Qian berjaya mengubat kekecewaan hanya menduduki kelompok lapan terbaik tahun lepas selepas dijulang sebagai juara Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan 2024 bawah 19 tahun (B-19) di Kompleks Skuasy Jalan Duta di sini hari ini.
Jun Qian bagaimanapun terpaksa bermandi peluh menempuh perlawanan sukar sepanjang 50 minit untuk merangkul kejuaraan pertamanya itu sebelum dapat mengetepikan wakil Kuala Lumpur, Hasvind Kugan dalam lima set 11-6, 9-11, 7-11, 11-6 dan 11-6.
Mengulas mengenai kemenangan itu, Jun Qian berkata ini merupakan permulaan baik untuknya sebelum memulakan karier sebagai pemain elit tahun depan.
"Sangat berpuas hati dengan kemenangan hari ini yang merupakan permulaan baik sebagai kali terakhir (pemain) kategori junior, selepas ini saya akan fokus untuk bermain sebagai pemain profesional.
"Saya akan tumpu pada Jelajah Persekutuan Skuasy Profesional (PSA) untuk memburu kedudukan ke-100 dunia, sekarang saya jauh di kedudukan ke-500," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, kategori wanita B-19 pula menyaksikan pemain Melaka, U. Thanusaa merangkul kejuaraan selepas mengetepikan Chen Yu Jie dari Negeri Sembilan dalam perlawanan tiga set 11-7, 11-12, 12-10 yang mengambil masa 18 minit.
Ini merupakan gelaran kedua pemain berusia 19 tahun itu yang sebelum ini pernah meraih johan bagi kategori B-17 pada edisi 2022.
Thanusaa berkata kemenangan kali ini begitu bermakna kerana tahun ini merupakan musim terakhirnya beraksi dalam kategori remaja sebelum melangkah sebagai pemain senior tahun depan.
"Puas hati sebab dah berlatih bersungguh-sungguh dan ini kejohanan junior terakhir jadi (saya) gembira dapat gelaran, gelaran ini akan memberi motivasi kepada saya untuk menjadi pemain senior bermula tahun depan," katanya yang akan memberi fokus pada Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Dunia Remaja.
Sementara itu, dalam kategori lelaki B-17, Altamis Aqhar Sallam A Sufian dari Sarawak mengungguli saingan selepas menumpaskan pemain Kedah, Aqil Mirza Naim 11-8, 11-8, 8-11, 11-2, 11-7.
Kategori wanita B-17 pula dimenangi atlet Pulau Pinang, Whitney Isabelle Wilson yang menewaskan pemain Kuala Lumpur, Najwa Zara Mohd Fakhrur 11-7, 11-6, 11-6.
-- BERNAMA
#Tay Jun Qian #Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan #Hasvind Kugan #Kompleks Skuasy Jalan Duta
;