Jun Hoong umum persaraan hari ini

Bernama
Januari 4, 2022 19:10 MYT
Jun Hoong berkata beliau masih belum memutuskan rancangan seterusnya buat masa ini. - Gambar/ Instagram @cheongjunhoong
KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong akhirnya mengumumkan persaraannya secara rasmi hari ini, setelah lebih dua dekad penglibatannya dalam sukan itu sejak 1999.
Jun Hoong yang akan mencecah usia 32 tahun pada April berkata walaupun berdepan kecederaan dan persembahan tidak konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun beliau tetap komited untuk mewakili negara.
Bagaimanapun, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa kontraknya tidak diperbaharui oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Malaysia (MS) baru-baru ini, sekali gus memutuskan untuk bersara.
Melalui pengumuman persaraan dilakukan menerusi akaun Instagram miliknya, atlet kelahiran Ipoh itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya sukannya.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan yang diberikan oleh mereka selama ini, tanpa mereka saya tidak akan berada seperti sekarang ini.
"Saya juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam pelbagai cara termasuk dari segi perubatan oleh doktor, rehabilitasi, fisioterapi, kaunselor psikologi dan semua kakitangan terlibat," katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi Bernama hari ini, Jun Hoong berkata beliau masih belum memutuskan rancangan seterusnya buat masa ini, walaupun telah menerima tawaran kejurulatihan di Perak daripada MSN.
"Pihak MSN ada bertanyakan apa yang saya mahu lakukan dan ijazah yang saya miliki. Mereka juga menawarkan bantuan jika saya memerlukannya. Lepas itu, ada juga bertanya jika saya mahu balik ke Perak, menjadi jurulatih, tapi buat masa ini saya cakap tidak mahu dulu.
"Saya masih belum ada rancangan lagi kerana keputusan ini agak mengejut dan saya juga sedang menumpukan kepada pemulihan dan rawatan," tambahnya.
Jun Hoong mencipta sejarah apabila muncul atlet terjun pertama negara memenangi gelaran juara dunia dalam acara 10m platform individu di Kejohanan Dunia 2017 di Budapest, Hungary.
Sebelum itu, Jun Hoong bergandingan dengan Datuk Pandelela Rinong menyumbang perak acara 10m platform seirama di Sukan Olimpik Rio 2016.
Bagaimanapun, pembedahan kedua di bahagian lututnya pada Sept 2018 berserta kecederaan berulang, memberikan cabaran besar buat Jun Hoong untuk mengekalkan prestasinya.
"Sebenarnya, untuk menjadi juara dunia, saya tidak pernah impikan, tidak pernah terfikir boleh menang mengalahkan pasukan China, segala usaha saya berbaloi. Saya harus akui bahawa saya amat kesal kerana tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan walaupun telah berusaha sedaya upaya," katanya.
-- BERNAMA
#Cheong Jun Hoong #Jun Hoong bersara #atlet terjun negara #MSN
;