Jun Hoong hasrat terus bertanding

Bernama
Oktober 16, 2020 21:55 MYT
Ratu terjun dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong kini 'berperang' dengan masa dan ketahanan mental untuk kembali ke tahap terbaik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan. - Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Memasuki usia 30-an, ratu terjun dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong kini 'berperang' dengan masa dan ketahanan mental untuk kembali ke tahap terbaik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.
Atlet kelahiran Ipoh itu yang tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Mei 2019 akibat kecederaan berulang, pernah memikirkan tentang persaraan apabila segala kejohanan terpaksa ditangguh dan dibatalkan susulan impak penularan pandemik COVID-19.
Jun Hoong yang menyertai kem latihan Road To Tokyo (RTT) sejak Jun lepas, mengakui kurang berpuas hati dengan tempoh masa latihannya yang berbeza berbanding sebelum ini ketika berlatih bersama bekas jurulatih terjun kebangsaan Zhang Yuliang di China.
Pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Rio itu berkata situasi semasa sedikit mempengaruhi semangatnya, namun sebagai atlet profesional beliau perlu memiliki keazaman yang tinggi.
"Saya masih ingin beraksi dan itu mungkin semangat yang ada pada saya sebagai seorang atlet. Memang pernah terfikir untuk bersara tetapi itu perkara biasa apabila anda menghadapi masalah atau berasa kecewa, kita kan insan biasa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Semangat untuk bertanding itu saya tidak berani nak cakap, masalah saya sekarang latihan, kalau latihan baik pasti prestasi yang baik dapat dijelmakan di kejohanan. Saya cuma harap program latihan boleh ditambah baik kemudian baru kita bercakap soal pertandingan," kata atlet berusia 30 tahun itu.
Jun Hoong mencipta sejarah menjadi atlet terjun wanita pertama meraih gelaran juara dunia dalam acara 10m platform individu di Budapest pada 2017, setahun selepas memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio bersama Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10m platform seirama.
Namun, misi memburu slot ke Olimpik Tokyo terhenti apabila kejohanan kelayakan dan temasya sukan terbesar dunia itu ditangguhkan ke tahun depan berikutan pandemik COVID-19.
Kejohanan terakhir disertai Jun Hoong adalah pada Siri Terjun Dunia FINA 2017 di Rusia yang menyaksikan beliau memenangi pingat gangsa acara 10m platform seirama, bergandingan dengan Pandelela.
"Jika nak bertanding saya perlu pastikan saya berada dalam keadaan terbaik dan bersedia selain berharap pengalaman saya boleh bantu dalam sesuatu pertandingan," jelas Jun Hoong.
Beliau dijangka menyertai pertandingan pertamanya dalam tempoh lebih dua tahun pada kejohanan secara maya anjuran Malaysia Swimming yang bakal disertai negara yang mempunyai zon masa sama, antaranya New Zealand dan Australia pada Disember ini.
-- BERNAMA
#Cheong Jun Hoong #Tokyo #Olimpik Tokyo #Sukan Olimpik Tokyo #Olimpik #Zhang Yuliang #Road to Tokyo
;