Jun Hao selangkah raih gelaran sulung kebangsaan
Bernama
Julai 8, 2023 15:42 MYT
Julai 8, 2023 15:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao semakin hampir untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023, selepas mengetepikan juara kebangsaan dua kali Lim Chi Wing, pada aksi separuh akhir hari ini.
Lebih manis, Jun Hao berhasil mengulangi pencapaian ke pentas final tiga tahun lepas setelah menewaskan pemain Kuala Lumpur itu 21-15, 21-17 dalam tempoh 38 minit pada perlawanan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.
Pemain berusia 23 tahun mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu akan membuat perhitungan menentang rakan sepasukan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar yang mara ke final selepas menewaskan Chua Kim Sheng juga dari BAM dengan 21-14, 22-20.
"Cukup gembira untuk melangkah ke final esok, kali terakhir ia dilakukan pada 2019 bergelar naib juara selepas tewas di tangan juara bertahan Soong Joo Ven," katanya kepada pemberita.
Mengenai perlawanan esok, Jun Hao yakin cabaran bakal diharungi esok tidak semudah dijangka kerana Muhammad Shaqeem yang juga rakan seperlatihannya itu turut memburu gelaran sulung kebangsaan.
"Saya juga mahu dia berikan sepenuhnya apa yang dia ada dalam pertembungan esok. Dari segi jurang perbezaan prestasi saya lihat ia sama rata," katanya.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita kebangsaan K. Letshanaa mengharapkan keputusan positif dapat dilakarnya pada aksi final esok sekali gus membakar semangatnay bagi menghadapi saingan di Terbuka Korea Selatan pada 18 hingga 23 Julai ini.
Terdahulu, Letshanaa yang bermain atas tiket BAM dipaksa bermain dalam tiga set sebelum berjaya menundukkan rakan sepasukan, Siti Nurshuhaini Azman 9-21, 21-10, 21-15 untuk mara ke final.
Perseorangan wanita sandaran utama BAM itu akan berdepan bekas rakan sepasukannya dari Kuala Lumpur, Wong Ling Ching yang turut mara selepas menewaskan wakil Johor, Lim Shin 21-13, 21-18.
Berikut keputusan perlawanan separuh akhir lain:
Beregu Lelaki:
-------------------
[4] Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (SEL/PEN) mn Chia Wei Jie-Liew Xun (BAM) 16-21, 21-13, 21-18
[3] Wan Mohd Arif Wan Sharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King (BAM) mn Choong Hon Jian-Wong Vin Sean (BAM) 21-11, 18-21, 21-18
Beregu Wanita:
--------------------
Cheng Su Hui-Vanessa Ng Po Lyn (BAM) mn Ho Lo Lee-Amanda Hwa Leng Yap (SEL/KL) 21-16, 22-20
Vivian Hoo Kah Mun-Lim Chiew Sien (KL/JHR) mn [3] Go Pei Kee-Low Yeen Yuan (BAM) 21-14, 19-21, 21-16
Beregu Campuran:
-------------------------
[1] Yap Roy King-Valeree Siow (BAM) mn [4] Wong Tien Chi-Lim Chiew Sen (JHR) 21-13, 21-15
[3] Choong Hon Jian-Go Pei Kee (BAM) mn [5] Loo Bing Kun-Cheng Su Yin (BAM) 21-18, 21-11
-- BERNAMA