Juara Terbuka Artik isyarat positif buat Zii Jia
Sinar Harian
Oktober 17, 2023 09:00 MYT
Oktober 17, 2023 09:00 MYT
KEJAYAAN jaguh badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia merangkul kejuaraan Terbuka Artik 2023 disifatkan isyarat positif pemain nombor 14 dunia itu mula mendapat rentak.
Malah, bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim menyifatkan kejayaan Zii Jia dalam kejuaraan edisi ke-23 berstatus Super 500 penting kepada pemain berusia 25 tahun tersebut.
“Saya harap kejuaraan diraih Zii Jia dapat mendidik dirinya untuk lebih berdisiplin mematangkan permainannya, selain mengendalikan segala situasi yang berlaku di persekitarannya.
“Paling penting dia jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut kerana perjalanan untuk bangkit masih jauh, namun result di Finland sesuatu yang positif.
“Sebaliknya jadikan kemenangan ini sebagai turning point untuk tampil persembahan lebih cemerlang dalam kejuaraan lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada Ahad, Zii Jia merangkul kejuaraan pertamanya dalam Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 500 itu selepas mengatasi rakan senegara, Ng Tze Yong dalam aksi final di Arena Energia.
Dalam perlawanan tersebut, Zii Jia menewaskan Tze Yong straight set 21-14, 21-15 dalam masa 40 minit.
Pada masa sama Roslin berharap Zii Jia tidak melayan komen-komen segelintir pihak terutamanya netizen berkenaan kejayaannya dibayangi tanpa kehadiran nama besar dunia di Vantaa, Finland.
Sebaliknya Roslin mahu Zii Jia menggunakan kejayaan merangkul kejuaraan itu sebagai cabaran untuk tampil lebih menyerlah dalam kejohanan lain selepas ini.
“Era media sosial ini payah dan sukar untuk kita tutup mulut orang, cumanya Zii Jia perlu ambilnya sebagai cabaran positif walaupun mungkin terdapat komen nakal ketika menang ke atas Tze Yong.
“Bagi menutup mulut pengkritik-pengkritik di laman media sosial ini adalah satu kemestian untuk Zii Jia menghasilkan result terbaik selepas ini tanpa perlu mengira siapa lawan, yang penting menang.
“Jika sebelum ini, Zii Jia kerap terkandas di pusingan pertama, selepas ini dia perlu memberikan better result sekurang-kurangnya suku akhir ke atas, jika juara adalah lebih baik,” katanya. - Sinar Harian