Juara Liga Super bakal terima RM2.4 juta
Astro Arena
Mac 28, 2023 07:20 MYT
Mac 28, 2023 07:20 MYT
WANG tunai berjumlah RM2.4 juta menanti pemenang Liga Super musim ini.
Itu ketetapan Malaysia Football League (MFL) menerusi sistem pengagihan pendapatan yang buat kali pertama diperkenalkan badan pentadbir Liga Malaysia itu.
Pengenalan sistem agihan itu turut membolehkan enam kelab teratas tidak termasuk juara, meraih lebih RM1 juta sementara pasukan tercorot tetap membawa hadiah kemenangan berjumlah RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada musim lepas.
Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super itu bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus berbanding jumlah 'distribution pool' pada 2022.
"Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada rakan kongsi liga dalam pertemuan bersama kesemua CEO kelab Liga-M pada 15 Februari lepas. Sistem ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang musim Liga-M 2023.
"Pembentangan yang dibuat mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya dalam kenyataan MFL pada Selasa. - Stadium Astro