Juara Komanwel dari Uganda Kiplangat menang gelaran dunia maraton

Bernama
Ogos 27, 2023 23:21 MYT
Victor Kiplangat mengekalkan momentum yang kuat pada peringkat terakhir untuk memenangi gelaran juara dunia maraton lelaki dengan catatan 2:08:53 pada Kejohanan Olahraga Dunia. - Foto AP
BUDAPEST: Atlet Uganda, Victor Kiplangat mengekalkan momentum yang kuat pada peringkat terakhir untuk memenangi gelaran juara dunia maraton lelaki dengan catatan 2:08:53 pada Kejohanan Olahraga Dunia di sini pada Ahad, lapor Xinhua.
Ketiadaan beberapa nama besar dalam perlumbaan di Budapest, Kiplangat berganding bahu dengan Leul Gebresilase dari Ethiopia selepas 33 kilometer (km).
Pemenang Sukan Komanwel berusia 23 tahun itu kemudian meninggalkan Gebresilase serta pelari lain, melepasi garisan penamat terlebih dahulu.
Maru Teferi dari Israel memintas Gebresilase pada beberapa meter terakhir, meraih perak dengan catatan 2:09:12. Gebresilase pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa tujuh saat di belakang.
"Hari ini sukar kerana ia sangat panas tetapi saya berasa selesa kerana saya bersedia dengan baik untuk cuaca ini. Ia adalah satu impian dan satu misi dan saya melakukannya hari ini," kata Kiplangat selepas memenangi emas kedua Uganda di Kejohanan Dunia.
"Kepantasannya tinggi tetapi saya perlu memberi lebih banyak lagi. Ia sukar tetapi saya sentiasa merasakan saya mempunyai kuasa," tambah Kiplangat yang sudah menetapkan sasaran Paris 2024. "Mudah-mudahan tahun depan di Paris saya akan menjadi juara Olimpik juga."
Juara bertahan Tamirat Tola masih menjadi pesaing pingat ketika larian berbaki 5km tetapi beliau tidak menamatkan perlumbaannya.
Tiga atlet China bertanding dalam perlumbaan itu dan Yang Shaohui menamatkan larian di tempat ke-38, yang terbaik dalam kalangan mereka.
--BERNAMA-XINHUA
#Victor Kiplangat #gelaran dunia maraton #altet Uganda #Kejohanan Olahraga Dunia
;